Sukan Asia 2018: Malaysia keempat terbaik dalam e-sukan PES

Mariah Ahmad
September 1, 2018 21:00 MYT
Muhamad Khairul Abdul Aziz (kanan) dan Mohamad NorHaikal Mohamad Noh ketika beraksi pada Sabtu. - Astro AWANI/Mariah Ahmad
DUO e-sukan Pro Evolution Soccer (PES) Malaysia, Mohamad NorHaikal Mohamad Noh dan Muhamad Khairul Abdul Aziz meraih tempat keempat pada acara demonstrasi Sukan Asia pada Sabtu.
Mohamad NorHaikal dan Muhamad Khairul yang mempamerkan aksi kemas di peringkat kumpulan A dengan rekod dua kemenangan dan satu kekalahan bagaimanapun terkandas di peringkat separuh akhir apabila bertemu dengan Jepun.
Pada perlawanan separuh akhir dalam pertandingan yang menggunakan format berpasukan BO3 (Best of 3) itu, Mohamad NorHaikal yang menggunakan FC Barcelona tewas kepada Sugimura Naoki 3-2 yang menggunakan Arsenal FC.
Meskipun duo Malaysia itu cuba bangkit pada pusingan 2v2 yang seterusnya dengan memulakan jaringan gol pertama, mereka tetap tewas kepada negara Matahari Terbit itu 3-1.
Ia sekali gus memberi 2 mata kemenangan kepada Jepun.

[#PES / #AG2018] SEMI FINAL JPN VS MAS [2-0] GGWP Mohd Haikal & Muhamad Khairul. Really, good game. Cuma sayang tak dapat tengok Keron beraksi dalam perlawanan ketiga. Tahniah anak muda Malaysia. Jangan putus asa! #youthpower#esukan #GalaxyGamerz@501Awani pic.twitter.com/5XPGuu1tIq

— Mariah Ahmad (@A_marea) September 1, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu pada pusingan penentu pingat gangsa, Malaysia hampir meraih kemenangan apabila berjaya mengheret Vietnam ke pusingan ketiga.
Pada pusingan pertama, Mohamad NorHaikal memulakan langkah yang baik apabila menjaringkan gol pertama dengan menggunakan FC Barcelona.
Namun ia belum cukup kuat untuk mengalahkan pemain Vietnam Do Thai Thien Phuc yang menjaringkan 2 gol menerusi Arsenal FC.
Duo Malaysia itu kemudiannya bangkit pada pusingan 2v2 apabila menggunakan Arsenal FC dan menang 3-2 ke atas Vietnam yang menggunakan FC Barcelona.
Langit tidak selalu cerah untuk skuad Malaysia apabila pemain Vietnam Le Doan Thanh Tam menang 2-1 ke atas Muhamad Khairul pada pusingan penentu dan seterusnya membenarkan skuad Vietnam membawa pulang pingat gangsa acara demonstrasi e-sukan Sukan Asia itu.
Mohamad NorHaikal dan Muhammad Khairul sebelum ini berjaya menempah slot ke Sukan Asia itu selepas meraih kedudukan naib juara dalam saringan peringkat Asia Tenggara, yang berlangsung pada 10 Jun lalu.
Pertandingan e-sukan PES bagi Sukan Asia itu menggunakan menggunakan format berpasukan BO3 iaitu:
Perlawanan 1: 1 vs 1 (individu pemain pertama)
Perlawanan 2: 2vs2 (duo/co-op)
Perlawanan 3: 1 vs 1 (individu pemain kedua)
Selain PES, enam permainan video yang dipertandingkan dalam acara e-sukan dalam Sukan Asia di Indonesia adalah termasuk League of Legends (LOL), Arena of Valor (AOV), Clash Royale, StarCraft II dan Hearthstone.
Demonstrasi pertandingan permainan video itu adalah sebagai persediaan mempertandingkan pingat bagi acara e-sukan dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
#demonstrasi #Esukan #mohamad norhaikal mohamad noh #muhamad khairul abdul aziz #pes #pes 2018 #pes 2019 #Pro Evolution Soccer #Sukan Asia