Sukan Asia 2018: Al-Jufferi sedia hadapi sebarang hukuman

Astro Arena
Ogos 27, 2018 21:30 MYT
Al-Jufferi menjadi mangsa keputusan berat sebelah juri walaupun banyak menyerang pesilat tuan rumah, Komang Harik Adi Putra, dalam final itu. - Foto Stadium Astro
PESILAT negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, tidak gentar dikenakan tindakan oleh penganjur atau Persekutuan Silat Antarabangsa selepas menarik diri dalam final Putra E Sukan Asia Jakarta-Palembang ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan juri.
Dia meninggalkan gelanggang ketika ketinggalan 1-4 tatkala pertarungan berbaki dua saat lagi di Gedung Padepokan Pencak Silat, hari ini.
Apa yang dibimbangi Malaysia akhirnya berlaku.
Al-Jufferi menjadi mangsa keputusan berat sebelah juri walaupun banyak menyerang pesilat tuan rumah, Komang Harik Adi Putra, dalam final itu.
Juara dunia tiga kali tersebut bangkit dalam pusingan kedua menerusi jatuhan untuk memintas lawan.
Bagaimanapun, dalam pusingan ketiga, banyak serangan Al-Jufferi tidak dikira sehingga mencetuskan rasa tidak puas hatinya dan pegawai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Akhirnya, Al-Jufferi memutuskan untuk menarik diri.
"Kalau beginilah (mutu) pengadilan silat, saya berasakan untuk temasya akan datang di China, sukan silat tidak akan ada.
"China berminat untuk menganjurkan acara silat, mereka akan tengok suasana di sini.
"Tetapi, tindakan saya menarik diri adalah untuk menunjukkan kepada China mengenai pengadilan sebenar sukan silat.
"Saya sedikit pun tidak takut dengan sebarang tindakan yang bakal dikenakan, saya hanya takut kepada Allah.
"Setakat ini sahaja saya hormati mereka," kata Al-Jufferi.
BACA: Saya tewas kerana ketidakadilan - Al Jufferi
Bagaimanapun, pujian buat Al-Jufferi kerana tetap menghadiri majlis penyampaian pingat demi semangat kesukanan.
BACA: 'Kamu tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi' - Syed Saddiq
"Kekhuatiran saya adalah mengenai penilaian orang, wakil-wakil daripada Majlis Olimpik Asia (OCA) turut hadir hari ini.
"Sudah dua kali perkara ini berlaku di sini, tidak kira mana-mana pun negara yang bertanding, jangan rompak pingat orang lain," ujar Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
#Gedung Padepokan Pencak Silat #Majlis Olimpik Asia #Mohd Al-Jufferi Jamari #OCA #Olimpik #Palembang #Pesaka #silat #Sukan Asia 2018
;