Sudah kalah enam kali, Wenger masih selamba tak risau kena pecat

Agensi
Februari 28, 2018 21:20 MYT
Wenger semakin hilang upaya untuk meletakkan Arsenal kembali di tahap kegemilangannya - Foto REUTERS
SEBAHAGIAN penyokong Arsenal mungkin sudah tidak dapat lagi menahan sabar dengan Arsene Wenger.
Prestasi lemah the Gunners diletakkan sepenuhnya di bahu pengendali berbangsa Perancis berusia 68 tahun itu.
Dalam 12 perlawanan tahun ini, Arsenal tewas enam daripadanya. Terbaharu diaibkan Manchester City 0-3 dalam perlawanan akhir merebut Piala Carabao di Wembley. Kedua-dua pasukan bakal kembali berentap Khamis ini.
Arsenal kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL), 27 mata di belakang City selaku pendahulu. Untuk beraksi dalam Liga Juara Eropah minggu depan The Gunners perlu memintas Tottenham Hotspur yang kini 11 mata di depannya.
Apa yang menarik untuk diperkatakan mengenai Wenger adalah sikap selambanya.
“Kedudukan saya adalah perkara terakhir yang saya risaukan pada waktu ini.
“Kerisauan saya adalah bagi pastikan pemain fokus menjelang perlawanan esok,” kata pengendali berusia 68 tahun itu.
Bekas penyerang Arsenal, Ian Wright dalam wawancara bersama BBC Radio 5 berpendapat tidak mungkin untuk Wenger kekal menjadi pengurus Arsenal selepas tamat musim ini.
Bagaimanapun setiap kali berdepan kritikan Wenger ada jawapannya.
“Untuk meraih kemenangan bukan selalu menjadi. Kita perlu berdepan kritikan. Ia sebahagian daripada bola sepak moden.” Jelas Wenger.
Wenger merupakan pengurus paling lama berkhidmat dalam EPL sejak menyertai Arsenal pada 28 September 1996. Dalam tempoh itu hanya tiga gelaran EPL dimenangi.
#Arsenal #Arsene Wenger #bola sepak #EPL #letak jawatan #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #pecat
;