Sudah ditegur berkali-kali tapi masih berlaku - Zainal Abidin

Astro Arena
Mei 1, 2021 05:17 MYT
ZAINAL ABIDIN: Pemain harus mengambil iktibar dan semangat baru untuk tidak memberikan peluang yang mudah buat lawan. - Astro ARENA
KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, mahu pasukannya mengambil iktibar daripada kekalahan 1-3 kepada Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri pada Jumaat.
Selain masalah kecederaan, Zainal Abidin berasakan jaringan kedua yang diperoleh pasukan Lang Merah itu hadir terlalu mudah dan meruntuhkan semangat pemainnya sehingga gagal bersaing ke penghujung permainan.
"Kami mempunyai ramai pemain yang cedera dan digantung, jadi ia menjejaskan kesebelasan utama.
"Bagi saya, mereka tetap dapat menunjukkan satu keyakinan yang tinggi dalam pasukan, terutama dalam babak pertama dan sepanjang 20 minit pertama separuh masa kedua.
"Tetapi kami mula jatuh apabila mereka memperoleh gol kedua dan ia tidak sepatutnya berlaku.
"Ia benda sama yang telah ditegur berulang kali, jadi pemain harus mengambil iktibar dan semangat baru untuk tidak memberikan peluang yang mudah buat lawan," katanya.
Dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Jumaat, pelawat terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penalti Kpah Sherman susulan bola terkena tangan pemain import Melaka, Jang Suk-won, seawal minit ke-18.
Melaka kemudian kembali menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti yang disudahkan Stefan Nikolic selepas Renan Alves menjatuhkan Manny Ott.
Kedah, bagaimanapun memastikan kemenangan milik mereka menerusi gol peribadi kedua Sherman pada minit ke-62 dan jaringan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, pada penghujung permainan.
#melaka united #Zainal Abidin Hassan #jurulatih #Kedah Darul Aman FC #Baddrol Bakhtiar #sepakan penalti #kecederaan #bola sepak
;