Suarez sedia terima Pogba di Nou Camp
Astro Arena
September 5, 2018 13:18 MYT
September 5, 2018 13:18 MYT
LUIS Suarez berasakan Paul Pogba memiliki keinginan untuk mencabar lebih banyak gelaran daripada apa yang dilakukannya bersama Manchester United serta menegaskan kehadirannya diterima secara terbuka di Nou Camp.
Pogba mengharungi dua musim yang sukar selepas kembali ke United, gagal mempamerkan aksi yang konsisten serta hubungan yang hambar di antara dirinya dan pengendali pasukan, Jose Mourinho, hingga diketepikan dalam beberapa perlawanan.
Selepas cemerlang dalam Piala Dunia dengan membantu Perancis muncul juara, Pogba menjadi sasaran buat juara LaLiga, Barca.
Jendela perpindahan Inggeris dan Sepanyol telah pun tutup dan Pogba masih kekal di Old Trafford tetapi jika Barca benar-benar berminat, khabar angin itu mungkin berterusan.
Suarez menegaskan pemain tengah berusia 25 tahun itu akan menjadi pelengkap gergasi Sepanyol itu.
"Dia merupakan sebahagian daripada pemain elit dan memiliki banyak kualiti," katanya.
"Saya berasakan dia mahu bersaing lebih daripada apa yang dilakukannya sekarang. Dia bukan pemain yang dimiliki Barca. Tetapi kami menerima kedatangannya."
Rakan senegara Pogba, Antoine Griezmann, turut kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Barca tetapi mengakhiri spekulasi itu ketika saingan Piala Dunia sedang berlangsung, Julai lalu.