Suami isteri dari Australia ungguli Kejohanan Asia Pasifik Ironman 70.3
Bernama
Oktober 7, 2023 19:16 MYT
Oktober 7, 2023 19:16 MYT
LANGKAWI: Pasangan suami isteri dari Australia berjaya menggungguli kategori profesional lelaki dan wanita pada Kejohanan Asia Pasifik Ironman 70.3 yang berlangsung di sini hari ini.
Josh Amberger, 34, dan isterinya, Ashleigh Gentle, 32, yang berkahwin tahun lalu, turut berjaya layak ke Kejohanan Dunia di Taupo, New Zealand, Disember tahun depan.
Cabaran sukan ekstrem Iroman 70.3 itu yang julung kali diadakan di negara ini menyaksikan Amberger, berjaya mengharungi cabaran tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan larian sejauh 21.1km dengan masa tiga jam 50 minit 47 saat.
Dua lagi atlet profesional lelaki dari Australia, Mike Philips berjaya menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa (3:52:23s) manakala Kurt McDonald di tempat ketiga dengan catatan masa (3:54:33s).
Sementara itu, bagi kategori profesional wanita, Gentle, berjaya menjuarai kejohanan itu dengan catatan masa 4:10.17s manakala rakan senegara Amelia Watkinson meraih tempat kedua dengan masa 4:16:05s dan tempat ketiga dimilki peserta Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lottie Lucas, dengan masa 4:20:59s.
Seramai 19 atlet profesional lelaki dan sembilan atlet profesional wanita dilepaskan di Pantai Kok seawal jam 7.05 pagi tadi.
Amberger, yang mendominasi saingan sejak disiplin berenang berjaya mengekalkan momentum sehingga garisan penamat, berkata ini merupakan kemenangan Kejohanan Asia Pasifik keduanya selepas memenangi kejohanan yang sama di Cannes, Perancis pada 2017.
"Adalah satu perasaan yang mengagumkan untuk memenangi Asia Pasifik di Langkawi selepas 2017 di Cannes dan menjadi orang pertama memenangi dua gelaran.Saya sangat menikmati perlumbaan hari ini.
"Keadaan yang mencabar dan laluan yang sukar tetapi secara keseluruhannya saya sangat gembira," katanya kepada pemberita selepas acara itu.
Sementara itu, Gentle, yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, berkata beliau gembira dan tidak menjangka akan mengungguli kejohanan tersebut selepas berdepan insiden disengat obor-obor seawal saingan displin berenang.
"Ia berlaku sangat awal. Bahkan pada pusingan pertama, saya rasa seperti ditikam oleh obor-obor...tangan dan kaki saya terasa kebas, tetapi ia tidak apa-apa, saya berseronok kerana tidak banyak yang dapat saya lakukan mengenainya.
"Kami berkahwin tahun lalu dan telah dapat berkongsi pengalaman perlumbaan bersama...jadi dapat datang ke sini dan memenangi Asia Pasifik bersama-sama adalah perasaan yang sangat baik," katanya.
Kejayaan dua kategori utama lelaki dan wanita itu menyaksikan keenam-enam pemenang podium itu melayakkan diri secara automatik ke kejohanan dunia di New Zealand yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Dis tahun hadapan.
-- BERNAMA