Stoke pertahan kesilapan Butland
Astro Arena
Februari 24, 2018 06:34 MYT
Februari 24, 2018 06:34 MYT
LEICESTER CITY 1 STOKE CITY 1
Paul Lambert percaya Jack Butland merupakan "penjaga gol terbaik di Britain" biarpun jaringan sendiri pemain antarabangsa England itu menyebabkan pasukannya mencatat seri 1-1 dengan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Ledakan Xherdan Shaqiri pada separuh masa pertama menyaksikan The Potters keluar dari zon penyingkiran serta di landasan kemenangan pertama liga sejak Oktober lalu.
Bagaimanapun, Stoke yang tampak selesa menguasai permainan dibolosi susulan Butland tertampan bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba menghalang rembatan Marc Albrighton.
Penjaga gol itu kemudian cemerlang menyelamatkan dua percubaan Riyad Mahrez, sambil percubaan Harry Maguire dan Matty James pada penghujung perlawanan menggegar tiang.
Namun, Lambert tampil mempertahankan anak buahnya.
"Dia seorang penjaga gol terbaik di Britain, dia sangat hebat," kata Lambert kepada Sky Sports.
"Dia perlu menghadapinya. Pemain hebat membuat kesilapan, itulah cara anda bangkit.
"Butland begitu hebat sejak saya tiba di sini. Ini bukan kesilapan pertama atau terakhir yang akan dilakukannya."
Stoke memungut enam mata dalam lima perlawanan terakhir sepanjang kendalian pengurus berbangsa Scotland itu.
Lambert turut memuji peningkatan pasukannya sambil menjulang Shaqiri kerana menemui sentuhan penyudah dalam tiga perlawanan berturut-turut.
"Kami cemerlang, beraksi sangat baik, bertahan dengan mantap sebagai sebuah pasukan dan kami kelihatan hebat," kata Lambert. "Serangan balas, persembahan yang luar biasa, mungkin kami sepatutnya memenangi permainan.
"Shaqiri mempunyai peluang menarik untuk memenanginya, saya fikir dia mampu menjadi pemain bola sepak berkelas dunia, dia mencipta peluang. Dia tidak bernasib baik dengan percubaannya pada separuh masa kedua dan dia membuat gerakan, dia bermain dengan sangat baik dan saya tidak boleh menyalahkan mereka.
"Kami bermain dengan baik dan itu satu peningkatan yang besar, saya baru beberapa minggu di sini tetapi pemulihan sudah meluas dan kami bermain dengan baik untuk memenangi perlawanan ini."
Walaupun Leicester tampil berbahaya pada penghujung permainan, jurulatih Foxes, Claude Puel, berasakan seri adalah keputusan yang tepat.
"Tidak cukup untuk menang hari ini," kata pengurus berbangsa Perancis itu. "Kami mampu tetapi kami juga boleh juga kalah, jadi keputusan ini adil.
"Penjaga gol mereka membuat beberapa aksi menyelamat yang bagus, namun kami juga mempunyai peluang.
"Saya fikir kami bermula dengan baik dan berintensiti tetapi terlalu lambat untuk membuka ruang. Kami tampil lebih baik pada babak kedua tetapi tanpa kelebihan klinikal atau sedikit tuah untuk mendapatkan gol kemenangan.
"Kami memerlukan keinginan yang lebih tinggi untuk menjaringkan gol, menyerang ke dalam kotak bersama-sama, kami melakukannya pada masa-masa tertentu tetapi tidak cukup konsisten."