Stok tidak lepasi piawaian, pelancaran AMD Ryzen 9000 ditunda
Amanz
Julai 25, 2024 13:54 MYT
Julai 25, 2024 13:54 MYT
AMD sepatutnya melancarkan siri cip pemprosesan desktop terbaru mereka, iaitu siri AMD Ryzen 9000 pada minggu hadapan (31 Julai 2024), tetapi mereka baru sahaja mengeluarkan pengumuman mengatakan bahawa pelancaran tersebut akan ditunda secara berkala selama seminggu.
Mereka mengatakan bahawa penundaan ini perlu dilakukan kerana mereka telah mendapati bahawa terdapat sebahagian daripada stok yang dipasarkan untuk jualan tidak melepasi piawaian pengujian prestasi yang sepatutnya, dan stok-stok ini telah dipanggil balik dan akan digantikan dengan stok baharu yang telah melepasi fasa ujian tersebut.
AMD mengatakan lagi bahawa model cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9700X dan AMD Ryzen 5 9600X akan dijual bermula 8 Ogos 2024, manakala AMD Ryzen 9 9950X dan AMD Ryzen 9 9900X akan dijual bermula 15 Ogos 2024.
Untuk cip-cip yang ditarik balik, AMD juga nampaknya telah mengesahkan bahawa cip-cip ini hanya perlu melalui proses ujian tersebut dan sekiranya mereka melepasinya, ia akan dipakej semula dan dijual seperti biasa. -Amanz