STL Perak: Kuala Kangsar Cannon juara pertama, bawa pulang RM10,000

Abd Razak Mohd Ali
Disember 4, 2022 19:35 MYT
Regu Kuala Kangsar Cannon muncul juara pertama Liga Sepak Takraw (STL) Perak yang julung kali diadakan tahun ini, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 serta piala pusingan. - Foto Astro AWANI
BATU GAJAH: Regu Kuala Kangsar Cannon muncul juara pertama Liga Sepak Takraw (STL) Perak yang julung kali diadakan tahun ini, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 serta piala pusingan.
Tempat kedua pula dimenangi regu Kinta Sword, tempat ketiga dimenangi oleh Kampar Revolver, dan keempat oleh Perak Tengah Katana.
Ketiga-tiga pasukan masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, RM5,000 dan RM3,000.
Hadiah-hadiah disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah selepas siri akhir liga di Dewan Bandaran Kinta, dekat sini, hari ini.
Khairudin ketika ditemui berkata, walaupun kali pertama dianjurkan, STL Perak mendapat sambutan sangat baik dengan penglibatan wakil dari 12 daerah.
Menurutnya, lebih membanggakan apabila 32 orang pemain yang mengambil bahagian terdiri daripada remaja yang berusia di bawah 19 tahun.
“Ini merupakan satu petanda baik bagi permainan sepak takraw di Perak kerana mereka ini boleh dijadikan pelapis dan sebagai persiapan dalam Sukan Malaysia akan datang “ ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya bercadang untuk meneruskan liga itu di tahun-tahun hadapan dengan beberapa penambahbaikan.
Katanya, antara penambahbaikan itu ialah mencadangkan siri itu ditambah kepada lima atau enam, berbanding empat tahun ini.
“Kita juga cadangkan dibuat mengikut daerah dengan regu belia atau remaja dan dewasa bagi menampakkan kita tidak tetandusan pemain yang berwibawa,” tambahnya.
#STL Perak #Kuala Kangsar Cannon #Liga Sepak Takraw #juara pertama
;