STL: KL Thunders buka tirai musim baru dengan kemenangan
Astro Arena
Januari 7, 2022 22:43 MYT
Januari 7, 2022 22:43 MYT
KL Thunders bermula langkah kanan dalam saingan Liga Sepak Takraw apabila merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Bomba Fighters di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Turun dengan reputasi sebagai juara berganda 2020, KL Thunder, berjaya merangkul gelaran pertama ditawarkan dalam saingan STL.
Aksi pertama yang juga merupakan aksi Sumbangsih digunakan sebaik mungkin oleh barisan trio utama KL yang diterajui Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.
Tidak memerlukan masa menyesuaikan diri, momentum ternyata memihak KL apabila berjaya memastikan mata demi mata diperoleh sebelum menang set pertama 21-7.
Bomba Fighters mempertingkatkan rentak permainan dalam set kedua, berusaha mengikut rentak perlawanan, namun pengalaman menjadi pemisah apabila KL Thunder terus cemerlang memastikan kemenangan 21-14 sekaligus menamatkan saingan menjuarai Piala Sumbangsih bagi musim 2022.
Selain menerima Piala Sumbangsih, pemenang malam ini akan turut menerima hadiah kemenangan RM5,000.
"Dalam set pertama, kami masih lagi mencari rentak sama seperti perlawanan namun kurang melakukan kesilapan," kata Amir.
"Namun set kedua menyaksikan terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan membenarkan lawan mengutip mata sebelum memastikan kemenangan.
Apabila dilabel sebagai pasukan gergasi, Amir berkata, "Kami berasakan setiap pasukan memiliki kualiti yang hampir sama. Semua pasukan memiliki keinginan untuk bergelar juara dan persiapan yang terbaik akan memastikan pasukan ke puncak nanti."