Steven Gerrard kembali ke Liverpool selaku jurulatih akademi
Astro Arena
Januari 21, 2017 20:51 MYT
Januari 21, 2017 20:51 MYT
STEVEN Gerrard kembali ke Liverpool sebagai jurulatih sepenuh masa di akademi kelab itu.
Liverpool mengumumkan perlantikan bekas kapten mereka itu semalam selepas dia menamatkan karier bersama LA Galaxy, November lalu.
The Reds mendedahkan Gerrard akan memainkan peranan sebagai jurulatih di kompleks pembangunan pemain muda di Kirkby dan akan terlibat secara langsung dalam pelbagai aspek pembangunan pemain.
"Captain Marvel" akan memulakan tugasnya pada Februari, dan akan bekerjasama secara erat dengan Pengarah Akademi, Alex Inglethorpe.
"Saya seperti menyempurnakan satu putaran; kembali ke tempat di mana segala-galanya bermula dalam karier saya," ujar Gerrard.
"Bagaimanapun, keputusan ini bukan dibuat berdasarkan emosi -- saya mahu menawarkan apa yang termampu buat Liverpool.
"Saya rasa tidak perlu untuk saya menjelaskan betapa bermaknanya kelab ini kepada saya.
"Tetapi menyedari satu hari nanti saya akan kembali, saya mahu kepulangan saya itu akan membawa impak, terutamanya dalam membantu organisasi ini.
"Ketika berjumpa Alex Inglethorpe dan melihat kerja mereka di Kirkby, saya berasakan ia satu keputusan yang tepat.
"Ini akan memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang jurulatih dan pada masa sama menawarkan ilmu yang telah saya peroleh kepada pemain muda demi pembangunan mereka."