Status Luqman Hakim disahkan dalam tempoh terdekat

Astro Arena
Jun 26, 2020 04:55 MYT
Luqman Hakim perlu membuat keputusan yang tepat, di mana sesuai untuknya. - Astro Arena
PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) memberi bayangan untuk meraih kata putus mengenai status Luqman Hakim Shamsudin sama ada mahu kekal bersama Selangor II atau berhijrah ke kelab Liga Belgium, K.V. Kortrijk, dalam tempoh kurang dari seminggu.
Susulan pengakuan yang dilakukan Luqman Hakim dalam Nadi Arena pada Khamis, penjelasan cuba diraih daripada pihak FAS untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan situasi melibatkan pemain muda sensasi kebangsaan itu.
"Perbincangan dengan Luqman Hakim adalah berkaitan dengan kontrak, perkembangan.
"Jadi kalau tanya saya, daripada pihak FAS, kami tidak menghalang tetapi saya ingin menegaskan bahawa Luqman Hakim perlu membuat keputusan yang tepat, di mana sesuai untuknya. Ia adalah keputusannya.
"Insya-Allah satu atau dua hari lagi kami akan berikan kenyataan rasmi," kata Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Namun, bagi pengendali Selangor II, Michael Feichtenbeiner, dia berpendapat amat bagus untuk Luqman Hakim kekal di Malaysia seterusnya menyertai skuad B-19 tahun kebangsaan.
"Dia perlukan banyak latihan. Bagi saya, dia memerlukan kempen pramusim bersama kami.
"Mungkin selepas itu, kami akan berikan pilihan untuk beraksi bersama skuad Liga Perdana sebelum menyertai kem kebangsaan," katanya.
"Jangan jadi bodoh, ikut nasihat orang yang tahu tentang bola sepak. Jangan ikut cakap orang sebaliknya nilai sendiri.
"Fokusnya harus terhadap bola sepak dan bukan perkara lain. Usah fokus banyak benda tetapi tidak tumpukan perhatian ketika latihan," tambah ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan.
"Dengar dengar cakap luar tetapi rujuk kepada kelompok yang lebih berpengalaman seperti pemain senior dan sebagainya. Orang luar hanya mementingkan publisiti."
#bola sepak #FAS #K V Kortrijk #kelab belgium #kelab Liga Belgium #Luqman Hakim #Michael Feichtenbeiner #Selangor #Shahril Mokhtar #skuad B-19 tahun
;