Status jumlah pasukan Liga Super 2025-2026 selepas 30 April - MFL
Bernama
Mac 18, 2025 10:15 MYT
Mac 18, 2025 10:15 MYT
MFL sentiasa berhubung dengan pasukan terlibat termasuk kelab yang dibelenggu dengan masalah kewangan bagi memastikan mereka dapat melengkapkan dokumen diperlukan sebelum memuat naik ke dalam sistem pelesenan kelab.
PETALING JAYA: Status penyertaan jumlah pasukan terlibat pada saingan Liga Super musim depan hanya akan diketahui selepas 30 April ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, First Instance Body (FIB) akan bermesyuarat bagi memutuskan jumlah pasukan yang layak mendapat Lesen Kebangsaan sekali gus beraksi pada Liga Super 2025-2026.
Mohd Shazli berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pasukan terlibat termasuk kelab yang dibelenggu dengan masalah kewangan bagi memastikan mereka dapat melengkapkan dokumen diperlukan sebelum memuat naik ke dalam sistem pelesenan kelab.
"Saya rasa kita masih optimis bahawa mana-mana pasukan yang sedia ada, mampu kekal dan mampu komited dengan pelesenan kelab.
"Setakat ini menerusi sesi-sesi pertemuan, nampaknya sangat positif. Saya rasa dalam sebulan lebih, kelab-kelab harus bekerja keras untuk memastikan perkara-perkara melibatkan pelesenan dapat dipenuhi sebelum berakhir 30 April," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MFL bersama media, di sini, malam tadi.
Minggu lepas, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, pasukan Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Tunku Mahkota Ismail menjelaskan, masalah terbabit berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh.
Ditanya mengenai spekulasi Brunei DPMM akan kembali ke kancah Liga Super, Mohd Shazli berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Brunei DPMM yang beraksi pada Liga Perdana Singapura pernah bersaing dalam Liga Super dengan pencapaian mereka hadir bagi musim 2005/2006 selepas menamatkan kempen pada kedudukan ketiga.
Mohd Shazli pada masa sama juga berkata, MFL terbuka menerima penyertaan pasukan jemputan dari negara luar untuk mewarnai saingan bola sepak tempatan, namun perlu mengambil kira kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu.
"Sudah tentu kita terbuka, tetapi kita perlu mengambil kira juga bila liga akan bermula dan bila liga di negara berkenaan berakhir. Kita tidak ada masalah selagi kita mendapat sokongan daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) diikuti kelulusan daripada AFC dan seterusnya dibawa ke FIFA," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, status permohonan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh juara bertahan Liga Super JDT, Selangor FC, Sabah FC, Penang FC, KDA dan Terengganu FC hanya akan diketahui selepas bulan ini.
-- BERNAMA