Status juara dunia lebih penting buat Azizulhasni
Astro Arena
April 22, 2017 22:52 MYT
April 22, 2017 22:52 MYT
Jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang, enggan terburu-buru mengejar ranking nombor satu dunia meskipun sudah berjaya memegang status sebagai juara keirin dunia 2017.
Azizulhasni sudah tidak lagi memegang status sebagai pelumba keirin nombor satu dunia sejak Februari lalu apabila tidak menyertai Siri Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia tahun ini untuk memberi sepenuh perhatian terhadap latihan sebelum ke Kejohanan Dunia di Hong Kong.
Ternyata, perancangannya berhasil selepas berjaya meraih gelaran juara dunia 2017 pada 13 April lalu meskipun ketika itu dia berada di ranking ketujuh dunia.
Kini, Azizulhasni hanya menganggap kedudukannya yang telah meningkat ke ranking keempat dunia ketika ini adalah bonus.
"Walaupun ranking turun, ia tidak memberi kesan kepada saya kerana keutamaan saya adalah untuk ke Kejohanan Dunia dan Alhamdulilah saya menang.
"Ini adalah pencapaian jauh lebih tinggi berbanding kedudukan ranking," ujarnya.
Azizul bertolak ke Melbourne, Australia hari ini dan hanya akan pulang ke Malaysia menjelang Sukan SEA, Ogos ini.
Bagaimanapun, jika berkesempatan, dia akan kembali ke tanah air pada 20 Mei ini sempena pelancaran velodrom di Nilai yang dijangka siap pada penghujung April.
"Saya akan pulang ke Australia (hari ini) tetapi jadual saya perlu seimbang kerana saya masih ada peperiksaan yang perlu dihadiri di samping memastikan jadual latihan saya berjalan lancar," tambahnya.