Status atlet tidak halang An Najwa genggam ijazah

Bernama
November 26, 2022 18:20 MYT
"Walaupun banyak perkara terpaksa dikorbankan, tetapi pada akhirnya ia berbaloi!" kata an Najwa. - Bernama
SERDANG: Kecekalan atlet bola jaring negara An Najwa Azizan membahagikan masa antara kerjaya dan pengajian akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menggenggam segulung ijazah pada Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 sidang dua, di sini hari ini.
Atlet berusia 25 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada majlis konvokesyen berkenaan yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM.
"Walaupun banyak perkara terpaksa dikorbankan, tetapi pada akhirnya ia berbaloi," kata pemain posisi 'Goal Shooter' (GS) skuad bola jaring negara itu.
Najwa, yang telah 10 tahun berkecimpung dalam sukan bola jaring, berkata akademik dan sukan seharusnya bergerak seiring sekiranya ingin terus berjaya di masa depan.
"Sebagai atlet, saya kena sedar seorang atlet tidak akan kekal selamanya dalam bidang sukan...kami terdedah kepada risiko kecederaan, jadi pelajaran adalah aset masa depan untuk setiap atlet," katanya.
Dalam pada itu, bekas atlet terjun negara Datuk Leong Mun Yee yang menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan.
Mun Yee berkata, beliau mahu melakar kejayaan bermakna dalam bidang akademik selepas menempa nama di arena sukan.
Sementara itu, graduan orang kurang upaya (OKU) A. Arul Dass, 52, yang memperoleh PhD Bahasa Melayu berkata kekurangan diri bukan alasan untuk membataskan pencapaian.
Katanya golongan OKU perlu membuktikan bahawa mereka juga mampu berjaya walaupun terpaksa menggandakan usaha dan mengerah lebih keringat berbanding orang lain.
"Rezeki masing-masing sudah ditentukan Pencipta, kena usaha lebih untuk capai. Kita perlu ada keyakinan yang kental dan mantap sebagai pendorong kejayaan," katanya yang mempunyai masalah pergerakan selepas menghidap polio ketika berusia dua tahun.
Berkongsi faktor memilih jurusan berkenaan, anak kelahiran Mantin, Negeri Sembilan itu berkata beliau dibesarkan dalam komuniti kaum Melayu malah sering menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa kedua untuk berkomunikasi bersama ahli keluarga.
-- BERNAMA
#An Najwa Azizan #atlet bola jaring #konvokesyen #UPM
;