Stan Wawrinka menang Terbuka Perancis, Djokovic gagal buat kali ketiga
Agensi
Jun 8, 2015 08:57 MYT
Jun 8, 2015 08:57 MYT
Stan Wawrinka musnahkan harapan Novak Djokovic untuk meraih ‘career grand slam’ pada Ahad dan terus menjadi pemenang Terbuka Perancis paling tua dalam tempoh 25 tahun.
Pemain berusia 30 tahun menang 4-6, 6-4, 6-3, 6-4 untuk menjulang trofi grand slam kedua selepas memenangi Terbuka Australia pada 2014.
Impian Djokovic untuk menjadi antara lapan pemain tennis lelaki untuk memenangi ‘career grand slam’ musnah setelah tewas di peringkat final Terbuka Perancis buat kali ketiga. Sebelum ini, Djokovic tewas pada tahun 2012 dan 2014.
Ia merupakan kekalahan ketiga buat Djokovic dalam 44 perlawanan pada tahun 2015, sekaligus mengakhiri 28 kemenangan berturut-turut bagi pemain dari Serbia pilihan pertama itu.
Djokovic unggul pada set pertama menentang pemain pilihan kelapan dari Switzerland itu dan menang dalam masa 43 minit.
Namun Wawarinka bangkit untuk memenangi tiga set berikutnya.
“Susah untuk percaya tetapi ia sudah menjadi kenyataan.
“Ia adalah perlawanan terbaik dalam hidup saya. Tahniah kepada Novak, ia adalah satu cabaran untuk menentang beliau. Ini merupakan saat yang paling indah untuk saya,” kata Wawrinka.
Sementara itu, Djovokic kelihatan sebak ketika acara penyampaian trofi.
“Susah untuk saya bercakap ketika ini. Saya mahu ucapakan tahniah kepada Stan. Dia mempunyai hati yang baik dan saya hormati beliau. Dia memang layak untuk menjadi pemenang.
“Saya mahu cakap bahawa saya akan kembali tahun hadapan dan saya akan cuba lagi,” kata Djokovic.
Sebelum ini Wawrinka menewaskan pemain Perancis Jo-Wilfried Tsonga pada peringkat separuh akhir dan pemain pilihan kedua yang juga dari Switzerland Roger Federer pada peringkat suku akhir.