Stadium Shah Alam saksi jatuh bangun bola sepak Selangor
Bernama
Julai 5, 2024 09:15 MYT
Julai 5, 2024 09:15 MYT
SHAH ALAM: Lebih 25 tahun menjadi venue rasmi pasukan Selangor, Stadium Shah Alam telah menyimpan pelbagai kenangan dan nostalgia tersendiri kepada pemain serta peminat sukan di negeri ini.
Kerja-kerja perobohan bangunan ikonik lambang kebanggaan Selangor yang bermula Isnin lepas, mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan peminat yang pernah sama-sama menjadi saksi jatuh bangun skuad Gergasi Merah serta kerdipan pemain dan bakat baharu digilap dari lapangan itu.
Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil berkata, Stadium Shah Alam menyimpan seribu satu kenangan kepada dirinya yang menjadi antara bakat muda digilap menerusi Akademi Bola Sepak Selangor dan banyak menghabiskan masa di stadium itu pada awal penglibatannya bersama pasukan Selangor.
Pemain pertahanan kental itu berkata, antara kenangan paling manis beliau di stadium itu ketika menjulang piala berprestij selepas Selangor dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 1 pada 2000.
"Stadium Shah Alam memang punya aura tersendiri dan sebab itu dari zaman akademi, bergelar pemain hingga menjadi jurulatih, venue ikonik ini sememangnya menjadi tempat yang kita nanti-nantikan untuk bermain dan menjadi satu kebanggaan jika dapat beraksi di hadapan lautan Merah Kuning.
"Sebagai antara pasukan paling berjaya, stabil dan mempunyai pangkalan peminat yang bagus, saya lihat pembinaan stadium baharu akan memberi suntikan semangat dan rasa ghairah dalam kalangan peyokong untuk hadir bersorak di stadium," kata pemain kelahiran Kajang itu kepada Bernama.
Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof berkata, Stadium Shah Alam telah menjadi saksi kepada perubahan besar dalam kariernya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Beliau berkata, stadium itu menjadi gelanggang perlawanan akhir pertama dan piala pertama berjaya dijulang, iaitu ketika membantu Kedah memenangi Piala Malaysia selepas menewaskan pasukan Selangor pada 2016.
"Terima kasih menjadi tempat kenangan terindah dalam hidup saya. Di sini bermula... dan di sini berakhir. Selamat tinggal Stadium Shah Alam," katanya.
Bagi penyokong tegar Selangor, Herfizul Akma, 42, berada di stadium ketika pasukan kesayangannya Red Giants memenangi Piala Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut pada 1995 hingga 1997 merupakan antara kenangan manis tidak mungkin dilupakan apabila bercakap mengenai Stadium Shah Alam.
"Ketika itu saya masih lagi di sekolah menengah dan ayah bawa naik motosikal atau kami akan menaiki bas dari Petaling Jaya semata-mata untuk menyaksikan aksi Selangor di Stadium Shah Alam.
"Saya masih ingat detik itu dan dapat menyaksikan sendiri gol kemenangan disumbangkan David Mitchell pada 1995, penalti terakhir Talib Sulaiman (1996) dan gol Christopher Kiwomya (1997). Ia kenangan paling indah yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila," katanya.
Presiden ANAK Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, walaupun agak sedih atas 'kehilangan' stadium keramat itu, namun pihaknya kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) telah bermula selepas kemudahan itu terbiar sejak kali terakhir digunakan pada Februari 2020.
"Kami harap apabila KSSA siap kelak ia akan menjadi ikon baharu kepada sukan bola sepak di Selangor sekali gus menggamit lebih ramai penyokong hadir memberikan sokongan setiap kali pasukan Gergasi Merah beraksi," katanya.
Selain bola sepak, berita perobohan Stadium Shah Alam turut menarik perhatian bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pernah mengikuti pengajian seni persembahan di stadium itu yang dijadikan fakulti sementara sekitar 21 tahun lepas.
Berkongsi kenangan manisnya menerusi catatan di laman Facebook, Azharul Azmir Kamarulzaman berkata, stadium itu pernah menjadi saksi sekumpulan remaja sepertinya yang datang dari segenap pelosok negara dipertemukan untuk memulakan hidup dan mengejar cita-cita.
Beliau berkata, di bawah deretan kerusi tempat duduk penonton di stadium itu pernah wujud sebuah institusi ilmu tempat mereka menadah ilmu yang ada ketikanya suara pensyarah tidak didengari akibat ditenggelami sorakan para penyokong ketika hari perlawanan.
"Di dalam stadium inilah letaknya fakulti kami, tempat kami menadah telinga menerima ilmu para guru yang suara mereka akan ditenggelamkan sorak gempita penyokong bola sepak di atas kami setiap kali gol dijaringkan ketika menjalankan kuliah pada waktu malam.
"Terima kasih Stadium Shah Alam untuk segala memori yang tercipta. Terima kasih menjadi tempat kami berteduh ketika kami muda dan menjadi kenangan indah nanti ketika kami tua," katanya.
Untuk rekod, Stadium Shah Alam pernah digunakan sebagai lokasi pembelajaran sementara bagi pelajar-pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (dahulu dikenali Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik) sebelum berpindah ke UiTM Kampus Puncak Perdana pada 2005.
Dibuka secara rasmi pada Julai 1994, Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,372 tempat duduk mula dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan KSSA selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka selesai pada Disember 2026.
- BERNAMA