Sri Pahang tewas dengan KL City di laman sendiri

Bernama
September 11, 2022 00:01 MYT
KL City menewaskan Sri Pahang 2-0 malam ini. - Gambar/ FB Sri Pahang FC
KUANTAN: Kuala Lumpur (KL) City FC menewaskan Sri Pahang FC dengan jaringan 2-0, sekali gus mengutip tiga mata penuh dalam satu-satunya perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Gol pertama KL City diperoleh pada minit ke-30 menerusi Haqimi Azim Rosli yang mengambil kesempatan situasi kelam kabut di depan gawang dengan membuat rembatan kencang menewaskan penjaga gol Sri Pahang Mamadou Mamadou Samassa.
Pada minit ke-72 di babak kedua pula, tiba giliran Kapten KL City, Zhafri Yahya meledakkan gol kedua pasukan itu hasil hantaran leret Jordan Mintah dalam kotak penalti.
Bagi pasukan tuan rumah, walaupun bermula garang dengan David William Rowley melakukan tendangan deras dari dalam kotak penalti seawal minit pertama namun percubaan itu berjaya digagalkan penjaga gol KL City Kevin Ray Mendoza.
Perlawanan yang berpihak kepada KL City dengan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
-- BERNAMA
#KL City #Sri Pahang FC #Liga Super #menang
;