Sri Pahang kembali huni kedudukan tiga teratas Liga Super

Bernama
April 28, 2023 05:51 MYT
Pemain Terengganu FC Adisak Kraisorn (kiri) diasak pemain Sri Pahang FC Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sri Pahang FC kembali merampas kedudukan ketiga carta Liga Super 2023 daripada Sabah FC selepas menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, malam tadi.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi seimbang, namun skuad Tok Gajah selaku pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Kpah Sherman yang menyempurnakan sepakan percuma diambil Stefano Brundo pada minit ke-30.
Kegembiraan Sri Pahang tidak bertahan lama apabila pemain Terengganu, Ivan Mamut berjaya menjaringkan gol penyamaan sembilan minit kemudian.
Pada minit ke-68, Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad berhasil menggandakan jaringan hasil rembatan jarak jauh Nor Azam Azih untuk mendahului 2-1.
Skuad Penyu yang ketinggalan cuba bangkit melakukan serangan balas, namun gagal menembusi benteng Tok Gajah sehingga wisel penamat ditiupkan.
Negeri Sembilan FC pula tewas di halaman sendiri apabila dikecewakan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Skuad bimbingan K. Devan menerima tentangan sengit di awal perlawanan dengan beberapa percubaan menarik pemain import Kedah sebelum dihukum dengan jaringan pendahuluan hasil tandukan penyerang import dari Brazil, Willian Lira Sousa pada minit ke-30.
Sepakan jarak dekat pemain tuan rumah, Zainal Abidin Jamil yang terkena pemain lawan membuahkan hasil dengan gol penyamaan pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua, Wilian Lira sekali lagi memanfaatkan peluang di depan pintu gol menerusi tandukan jarak dekat di hadapan pintu gol pada minit ke-72 untuk memutlakkan kemenangan Kedah.
Sementara itu, aksi pertemuan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, menyaksikan Kelantan FC tewas tipis 2-3 di tangan Perak FC.
Skuad Red Warriors membuka jaringan terlebih dahulu menerusi Nuha Marong pada minit ke-14 sebelum Perak meraih gol penyamaan hasil gol sendiri pertahanan Kelantan, Muhammad Yusri Yuhasmadi, pada minit ke-34.
Skuad Bos Gaurus kemudian menambah dua jaringan masing-masing menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-45 dan Muhamad Hafizal Mohamad pada minit ke-67 sebelum Kelantan memperoleh gol kedua menerusi menerusi Nurshamil Abd Ghani pada masa kecederaan (93').
-- BERNAMA
#Sri Pahang FC #Liga Super #Perak FC #Kedah Darul Aman FC
;