SPRM siasat KLFA, tarikh kongres pemilihan jawatankuasa mungkin ditangguh

Bernama
Ogos 27, 2024 19:45 MYT
Tarikh kongres pemilihan bergantung kepada siasatan SPRM yang akan berlangsung selama 14 hari bermula semalam.
KUALA LUMPUR: Kongres pemilihan jawatankuasa baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dijadual pada 7 Sept kemungkinan berubah, susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kelab itu yang bermula semalam.
Perkara itu diumumkan Pemangku Presiden KLFA Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang berkata tarikh kongres pemilihan itu, bergantung kepada siasatan SPRM yang akan berlangsung selama 14 hari bermula semalam.
"SPRM akan melengkapkan siasatan tersebut, dan kalau ada kebarangkalian salah laku pemilihan akan ditunda, sekiranya tidak ada salah laku maka secara automatik 7 Sept merupakan tarikh ditetapkan ahli jawatankuasa adakan majlis kongres.
"Siasatan mungkin selesai lebih awal dan kongres akan berjalan seperti tarikh yang ditetapkan atau sebaliknya kongres akan ditangguh," katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.
Kertas pencalonan untuk kongres KLFA sepatutnya dibuka hari ini oleh badan berkecuali, namun tidak dapat dilakukan susulan siasatan dijalankan SPRM itu.
Abdullah Sani berkata senarai calon berkenaan hanya boleh disah dan diumumkan setelah kesemua siasatan selesai.
Beliau pada masa sama berkata hanya 28 kelab yang layak untuk menyertai kongres berkenaan.
"Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) sudah membatalkan status beberapa kelab di bawah KLFA, jadi timbul persoalan apakah mereka layak untuk menyertai pemilihan yang berlangsung 7 Sept ini. Namun ahli jawatankuasa membuat ketetapan membenarkan mereka menyertai pemilihan," katanya.
Jumaat lepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden KLFA pada kongres pemilihan jawatankuasa berkenaan.
Fahmi yang membuat pengumuman tersebut pada laman TikTok memperkenalkan barisan pasukannya yang antaranya terdiri daripada Pengarah KL United Sdn Bhd Syed Yazid Syed Omar sebagai calon timbalan presiden KLFA.
Selain Fahmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut berminat dengan kerusi panas itu dengan menamakan beberapa calon untuk mengisi jawatan tertinggi dalam KLFA.
Calon bagi jawatan timbalan presiden bakal diisi Penasihat Setiawangsa Rangers FC Datuk Azril Mat Drus dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan, selain empat naib presiden terdiri daripada Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Pengarah Bebas Saudee Group Bhd Datuk Sham Shamrat Sen Gupta, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohamad Hamim.
Abdullah Sani memangku jawatan itu selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad melepaskan jawatan pada Mac.
Pemilihan barisan kepimpinan baharu KLFA pada kongres itu, bakal memilih seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 ahli jawatankuasa (Exco).
-- BERNAMA
#SPRM siasat KLFA #Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur #kongres pemilihan jawatankuasa #Abdullah Sani Abdul Hamid
;