SPM dan Kejohanan Dunia B-20 ujian tahun 2024 buat Hazriq
Bernama
Januari 2, 2024 04:30 MYT
Januari 2, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelari muda negara, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau bakal mengharungi tahun 2024 yang penuh mencabar, apabila perlu menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelayakan untuk ke Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20) di Peru, Ogos ini.
Atlet acara lari berpagar 110 meter (m) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Kluang itu, terlebih dahulu perlu menumpukan perhatian terhadap peperiksaan SPM 2023 bermula 30 Jan ini, bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang, demi masa depan yang lebih cerah selain bidang olahraga.
Selain itu, atlet yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu juga perlu melakukan catatan bawah 14.20 saat (s) di Kejohanan Asia B-20 bermula 24-27 April depan di Dubai, untuk mengesahkan tiket ke Kejohanan Dunia B-20 di Lima, Peru, yang akan berlangsung pada 26-31 Ogos ini.
Bagaimanapun, bapanya, Cik Mat Kilau Che Musa yakin peperiksaan SPM tidak akan mengganggu Muhammad Hazriq, 17, melakukan persiapan bagi menghadapi misi besar dalam kariernya itu.
"Hazriq merupakan seorang yang berdisiplin dan bersemangat tinggi serta bijak mengurus masa, jadi beliau dapat membahagikan masa untuk pelajaran dan latihan. Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan selama ini, saya yakin bahawa Hazriq mampu layak untuk beraksi di Lima, Peru," katanya ketika dihubungi Bernama.
Cik Mat Kilau berkata, sekiranya Muhammad Hazriq berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan di lapangan, dia akan dihantar ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat menyertai pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi.
"Sasaran jangka masa panjang beliau ialah beraksi di pentas Olimpik. Selagi tidak melangkah kaki ke Olimpik, selagi itu beliau takkan berpuas hati.
Catatan terbaik Muhammad Hazriq yang diiktiraf Olahraga Dunia ialah 13.67s di Sukan Komanwel Remaja 2023 di Trinidad and Tobago pada Ogos lepas, dan untuk aksi di Dubai dan Lima, beliau perlu bersedia untuk mengharungi cabaran menggunakan pagar yang lebih tinggi berikutan peralihan dari kategori remaja.
Pada bulan lepas, Muhammad Hazriq mencipta sensasi apabila meraih emas 110m lari berpagar dan 4x100m lelaki bersama-sama Dylan Leo Saran Stephen, Danish Irfan Tamrin dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee, pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok. - BERNAMA