Speedy Tigers tutup kempen Eropah dengan kekalahan
Bernama
Julai 15, 2024 13:02 MYT
Julai 15, 2024 13:02 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan kempen jelajah Eropah dengan satu lagi kekalahan, kali ini tumpas kepada India, 1-2, di Zwolle Hockey Club, Belanda pada Ahad.
India berada di depan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Harmanpreet Singh pada minit ke-11 sebelum Muhammad Fariz Harizan menyamakan kedudukan juga menerusi situasi sama, selang dua minit kemudian.
Harmanpreet sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan bimbingan Sarjit Singh, menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33, sekali gus memastikan kemenangan berpihak buat pasukan yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris itu.
Walaupun tewas buat kali kedua di Belanda, Sarjit memuji usaha ditonjolkan anak buahnya terutama dari segi pertahanan dan situasi satu lawan satu.
"Masih banyak perkara perlu ditingkatkan untuk pasukan ini dan kami sudah mengenal pasti beberapa perkara dan akan berusaha untuk memperbaik kelemahan pasukan.
"Pasukan akan terus memandang ke hadapan untuk membangunkan pasukan ini terutama dari segi aspek fizikal, kekuatan, teknikal dan taktikal," katanya dalam satu kenyataan oleh Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Jumaat lepas, Malaysia dibelasah 0-5 oleh pasukan nombor satu dunia, Belanda pada saingan yang berlangsung di Arnhem Mixed Hockey Club.
Speedy Tigers memulakan kempen jelajah Eropah pada 30 Jun dengan mengharungi tiga perlawanan menentang Belgium B di Antwerp menerusi kemenangan 3-2, diikuti tumpas 2-4 (3 Julai) dan kembali menang 3-2 (5 Julai).
Mereka kemudian meneruskan jelajah di Jerman dan dibelasah 1-10 oleh juara bertahan Piala Dunia pada 7 Julai sebelum bangkit membenam Monchengladbach Hockey Club 9-2 pada 10 Julai.
-- BERNAMA