Speedy Tigers tewas tipis 2-3 kepada Perancis

Bernama
Oktober 4, 2022 22:55 MYT
Skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu ketinggalan seawal minit pertama hasil jaringan sudut penalti diikuti jaringan padang lawan selang tiga minit kemudian. - Gambar/ Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan terus mengalami kekalahan, kali ini tewas tipis 2-3 kepada Perancis pada aksi ketiga Siri Jelajah Belgium yang berlangsung di Waterloo Ducks Hockey Club, di Waterloo Belgium hari ini.
Skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu ketinggalan seawal minit pertama hasil jaringan sudut penalti diikuti jaringan padang lawan selang tiga minit kemudian.
Perancis terus merobek gawang negara menerusi satu jaringan sudut penalti untuk jaringan ketiga pada minit ke-35 perlawanan sebelum Speedy Tigers berhasil meledak satu jaringan padang menerusi Najib Abu Hassan pada minit ke-52 perlawanan.
Skuad hoki kebangsaan cuba bangkit apabila Muhammad Razie Abd Rahim menjaringkan satu pukulan sudut penalti tiga minit kemudian, namun ianya sudah terlambat bagi mereka untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.
"Mereka (Speedy Tigers) bangkit dengan bagus di suku keempat walaupun ketinggalan 3-0 dengan (Perancis), mereka tunjukkan tenaga yang tinggi, jadi ini menunjukkan mereka berkeupayaan untuk bekerja keras tetapi saya tidak tahu kenapa tenaga itu kurang pada suku kedua dan ketiga.
"Kekurangan dia mungkin kita tidak habiskan dengan tenaga atau keyakinan yang tinggi. Jadi kita akan kaji perlawanan hari ini bagi perlawanan esok," kata Arul Selvaraj menerusi sidang video yang dikongsi oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Aksi terakhir persahabatan dalam siri jelajah tersebut melibatkan pertemuan dengan pasukan sama iaitu Perancis yang berada pada ranking ke-11 dunia, esok (5 Okt).
Malaysia yang berada di ranking ke-10 dunia sebelum ini menundukkan tuan rumah Belgium 1-0 pada 27 Sept lepas sebelum dibelasah 0-7 oleh Belgium Rabu lalu.
Siri Jelajah Belgium adalah bagi mempersiapkan skuad negara menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak, dari 1 hingga 10 Nov ini serta Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Jan depan.
-- BERNAMA
#Speedy Tigers #jelajah belgium #Perancis #skuad hoki negara
;