Speedy Tigers perlu kekal dalam program RTG - Mirnawan

Bernama
Oktober 9, 2023 07:00 MYT
Mirnawan berkata, perlu diambil kira pencapaian cemerlang Speedy Tigers merangkul Piala Sultan Azlan Shah 2022 serta layak ke final Piala Asia 2022 dan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara 2023. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan perlu kekal dalam program Road To Gold (RTG) kerana masih berada di landasan memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi berkata keputusan di Sukan Asia Hangzhou 2022 tidak sepatutnya dijadikan penilaian mutlak, sebaliknya perlu mengambil kira pencapaian cemerlang Speedy Tigers yang merangkul Piala Sultan Azlan Shah 2022 serta layak ke final Piala Asia 2022 dan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara (ACT) 2023.
"Pasukan hoki kita sebelum ini berada dalam kelompok ke-10 terbaik dunia sebab itu dimasukkan dalam RTG untuk diberikan bantuan selayaknya.
"Selepas Sukan Asia ini pun peluang untuk ke Sukan Olimpik belum terkubur. Jadi saya memang harap hoki masih dalam RTG," katanya kepada pemberita pada sidang media pasca-Sukan Asia Hangzhou 2022 bersama skuad hoki lelaki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin.
Sementara itu, pengendali Speedy Tigers A. Arul Selvaraj menafikan sekeras-kerasnya tohmahan segelintir pihak yang mengatakan mereka hadir di bumi Hangzhou bermain tanpa niat untuk merangkul kejayaan.
Beliau berkata terlampau banyak pengorbanan yang dilakukan anak buahnya yang kini berada di ranking ke-12 dunia itu, dan tidak pernah ragu dengan kemampuan skuad kendaliannya yang sentiasa berjuang bermati-matian untuk mencipta kemenangan.
"Saya yakin ada hikmah dengan kekalahan ini namun kami perlu bekerja keras dan perasaan kecewa ini tidak akan lama. Kami akan kembali untuk tampilkan prestasi sebenar lagipun kami sudah bermain dengan hebat di Piala Sultan Azlan Shah dan beberapa kejohanan lain.
".. jadi kenapa kita tidak bermain dengan baik (di Hangzhou)? Kita perlu cari punca dan harap dapat bangkit untuk ke perlawanan kelayakan. Saya yakin tidak pernah sekalipun pemain datang tanpa niat untuk menang," katanya.
Mengenai persediaan sebelum kelayakan Olimpik Paris 2024 pada Januari tahun depan, Arul berkata skuad negara akan 'berkampung' di New Zealand pada Disember ini bagi menjalani sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan.
Menurut Arul Selvaraj, tiada rombakan besar-besaran perlu dibuat sebaliknya memperbaiki kesilapan-kesilapan mudah yang sering dilakukan ketika perlawanan terutama pukulan sudut penalti.
"Kami juga akan terbang ke New Zealand pada 6 atau 7 Dis ini untuk pertajamkan lagi aksi.
"Lagipun kami juga tidak tahu akan bermain aksi kelayakan itu di Oman atau Sepanyol sebab kena tunggu kejohanan di Afrika dan Pan Amerika habis akhir bulan ini. Selepas itu baru kami tahu akan bermain di dalam kumpulan kelayakan yang mana," katanya.
Impian skuad hoki lelaki negara untuk meraih pingat emas sulung Sukan Asia berkecai apabila gagal melayakkan diri ke separuh akhir setelah terikat 4-4 menentang tuan rumah, China di Stadium Gongshu Canal Sports Park.
Lebih mengecewakan, Speedy Tigers mengakhiri saingan Sukan Asia Hangzhou 2022 di tempat keenam selepas tewas 2-5 kepada Pakistan dalam penentuan tempat kelima dan keenam.
-- BERNAMA
#RTG #Mirnawan Nawawi #A Arul Selvaraj #hoki lelaki kebangsaan
;