Speedy Tigers perlu bijak kawal tempo perlawanan - Marhan
Bernama
Ogos 14, 2023 20:24 MYT
Ogos 14, 2023 20:24 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Speedy Tigers perlu bijak mengawal tempo perlawanan apabila berdepan pasukan dengan corak permainan berintensiti tinggi seperti India, sekiranya mahu menamatkan penantian lebih dua dekad beraksi di pentas Olimpik.
Malah, kapten pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil percaya berdasarkan aksi final bertemu pasukan nombor tiga dunia, India pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023, Sabtu lepas, skuad negara mampu mencipta sejarah muncul juara Sukan Asia buat julung kalinya, September ini.
Pada aksi final di Chennai itu, pasukan negara yang berada di ranking kesembilan dunia, hampir mencipta kejutan ke atas pasukan tuan rumah India apabila mendahului 3-1 pada separuh masa pertama, sebelum tewas tipis 3-4.
"India sentiasa berada di prestasi baik kerana banyak bermain dengan pasukan dengan permainan tempo tinggi, jadi kita perlu pandai kawal perlawanan supaya tidak ikut rentak mereka, biar mereka yang ikut rentak kita. Kita dah tunjukkan mesej di final yang kita mampu menjaringkan gol, namun harus elak dibolosi.
"Biasanya tekanan lebih tinggi kepada pasukan yang sedang mendahului berbanding pasukan yang mengejar. Jika kita berhati-hati apabila mendahului, mengekalkan momentum seperti separuh masa pertama dan kurangkan dilayangkan kad, kita boleh mengatasi mereka," katanya kepada pemberita semalam.
Tonggak tengah berusia 33 tahun itu turut memuji rakan sepasukan yang mempamerkan prestasi dan keyakinan tinggi serta berharap mereka mengekalkan momentum untuk meraih emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Pingat emas di Sukan Asia amat penting buat Malaysia kerana juara di Hangzhou dapat mengesahkan kelayakan awal ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas kali terakhir beraksi pada edisi 2000 di Sydney.
Sementara itu, ketua jurulatih A. Arulselvaraj percaya anak buahnya mampu muncul juara di Hangzhou, sekiranya mereka terus mempamerkan peningkatan, terutamanya untuk mengatasi India.
"Pada pandangan saya, India memang pasukan yang bagus kerana sentiasa bermain dengan pasukan terbaik dunia, beraksi di Pro League dan tempo perlawanan yang pantas. Sebab itu kita ingin beraksi menentang pasukan seperti Australia, Belanda dan Belgium.
"Namun, pada pandangan saya, kita lebih baik daripada India dalam beberapa aspek seperti tersusun di atas padang, posisi dan permainan secara berpasukan," katanya.
Pada Sukan Asia, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia, manakala India berada dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.
Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia adalah pingat perak di edisi 2010 Guangzhou dan 2018 Jakarta-Palembang.
-- BERNAMA