Speedy Tigers pada landasan tepat untuk menyinar di Hangzhou

Bernama
Ogos 25, 2023 21:00 MYT
Skuad hoki kebangsaan kini berada pada landasan tepat untuk menyerlah pada Sukan Asia Hangzhou di China bulan depan. - Facebook/Asian Hockey Federation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan kini berada pada landasan tepat untuk menyerlah pada Sukan Asia Hangzhou di China bulan depan.
Bekas pemain serangan Australia, Glenn Runner, yang ketika ini membantu persiapan Speedy Tigers bagi menghadapi temasya itu, percaya dengan keupayaan skuad negara selepas kejayaan menduduki tempat kedua di Piala Juara-Juara Asia (ACT) 2023 yang berlangsung di Chennai, India awal bulan ini.
"Saya rasa mereka kini lebih cergas, pantas dan lebih berskil daripada sebelum ini, jadi mereka sepatutnya mampu memberikan prestasi terbaik di Sukan Asia.
"... namun saya rasa untuk pasukan ini bersedia untuk sukan Olimpik, kami perlu menjaringkan lebih banyak gol padang dan kami perlu perbaiki pukulan sudut penalti. Hari ini di latihan dan juga di ACT, kami menjadi pasukan dengan jaringan gol padang terbanyak, jadi saya gembira dengan perkara itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan, di sini pada Jumaat.
Turner berkata, disebabkan setiap kejohanan mempunyai tekanan berlainan, pemain kebangsaan perlu sentiasa positif dan yakin ketika beraksi dipadang bagi mencapai keputusan cemerlang pada temasya tersebut.
Juara Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik.
Sementara itu, penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari merasakan kehadiran Turner dan seorang lagi jurulatih yang juga bekas pemain Australia Kieren Govers, telah membantu mereka mencapai tahap kesediaan sehingga 80 peratus, bagi mempamerkan 'taring' sebenar pada temasya sukan di Hangzhou nanti, dengan menggunakan beberapa strategi baharu.
"Semua orang kenal jurulatih kami, kerana mereka ialah juara dunia. Kita banyak belajar daripada mereka berdua semenjak mereka mula melatih kami bulan lepas, dan ia terbukti di ACT di mana kita menjaringkan jaringan padang (menggunakan teknik yang bersesuaian).
"Mereka berdua lebih tekankan bahagian menyerang iaitu dari segi posisi, cara menjaringkan gol untuk memastikan gol mampu terhasil (dari semua sudut)," katanya.
Speedy Tigers dijangka berlepas ke Hangzhou pada 20 Sept, di mana Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia, manakala India berada dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.
Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir dan pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia adalah pingat perak di edisi 2010 Guangzhou dan di Jakarta-Palembang pada 2018.
Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini. - BERNAMA
#Skuad Hoki Kebangsaan #Speedy Tigers #Sukan Asia Hangzhou #Glenn Runner