Speedy Tigers mantapkan mental, fizikal di Lenggong

Bernama
Oktober 15, 2022 06:00 MYT
Pemain skuad senior hoki lelaki kebangsaan kini berada di Lenggong, Perak bagi mengikuti Program Team Building dari 15 hingga 17 Okt. - Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Program pemantapan pasukan di Lenggong, Perak diyakini mampu memantapkan persediaan mental dan fizikal 26 pemain skuad senior hoki lelaki kebangsaan menjelang kejohanan besar termasuk Piala Sultan Azlan Shah 2022 dari 1-10 Nov ini.
Ketua Jurulatih A. Arul Selvaraj percaya program tersebut dapat memberi manfaat kepada anak-anak buahnya terutama dari sudut kepentingan mempercayai satu sama lain, menyerap tekanan sebagai satu pasukan, mencari jalan menyelesaikan setiap masalah serta kerjasama dalam menghadapi cabaran mendatang.
"Ini merupakan kali pertama kami menjalani program pemantapan pasukan atau 'team building' yang tujuannya adalah untuk mencungkil emosi pemain dan maruah atau jati diri mereka bagi memberikan semua yang dimiliki apabila beraksi untuk Malaysia.
"Apa yang pemain akan capai selepas tamat program ini adalah semangat patriotisme dalam diri mereka, maruah untuk mempertahankan pintu gol demi negara dan mencari kemenangan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia semalam.
Selepas aksi Piala Sultan Azlan Shah, Speedy Tigers dijadual turun beraksi pada Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India dari 13 hingga 29 Jan depan.
-- BERNAMA
#hoki #A Arul Selvaraj #Speedy Tigers #team building di Lenggong
;