'Speedy Jantan' tidak pertahankan emas 100m di Sukan SEA Filipina

Bernama
Ogos 22, 2019 05:35 MYT
Khairul Hafiz gagal melepasi had kelayakan 10.43s seperti ditetapkan. - Gambar fail
Peluang jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk mempertahankan pingat emas 100 meter (m) di Sukan SEA Filipina 2019 sudah tertutup selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail sebagai pelari utama acara tersebut.
Khairul Hafiz, dengan jolokan The Speedy Jantan, sekadar melakarkan kepantasan 10.71 saat (s) pada aksi final 100m pada Kejohanan Olahraga KOM minggu lalu, sekali gus gagal melepasi had kelayakan 10.43s seperti ditetapkan.
Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan 10.18s itu terpaksa berpuas hati dengan penyertaan dalam acara 4x100m sahaja, selepas disenaraikan dalam Kategori B acara berkenaan bersama-sama Muhammad Zulfiqar, Mohd Haiqal Hanafi, dan Nixon Kennedy.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata pemilihan Muhammad Zulfiqar berbanding Khairul Hafiz adalah berdasarkan prestasi semasa berbanding status sebagai penyandang juara Sukan SEA dan pemegang rekod kebangsaan.
Beliau berkata KOM mengutamakan prestasi semasa dan Khairul Hafiz terpaksa membuat pengorbanan dengan memberi laluan kepada Muhammad Zulfiqar yang turut berlatih dengan gigih untuk merebut slot pelari pecut dalam skuad negara.
"Apa yang berlaku sebelum ini kita perlu ambil kira, tetapi kita utamakan prestasi semasa dan perlu berlaku adil.
"Kita perlu beri motivasi kepada Khairul selepas kembali semula ke trek selepas cedera. Biar Khairul pulih sepenuhnya dan bina dirinya semula kerana beliau masih muda dan mampu buat yang lebih baik," katanya ketika ditemui di Wisma OCM di sini, pada Khamis.
Pelari berusia 21 tahun itu baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali, bulan lalu dengan catatan masa 10.70s dan berjaya membaiki catatan 10.50s pada Terbuka Kuala Lumpur awal bulan lalu yang juga kejohanan keduanya selepas kembali dari kecederaan selama lebih tujuh bulan.
Dalam pada itu, bagi kategori wanita pula, Zaidatul Husniah Zulkifli disenaraikan bagi acara 100m dan 200m, manakala slot kedua bagi kedua-dua acara itu masing-masing menjadi milik juara Kejohanan KOM 2019, Siti Fathimah Mohamad dan Nurul Faizah Mazlan.
Selain itu, Mohd Manshahar berkata atlet lompat jauh lelaki, Andrre Anura @ Anuar yang layak secara merit dalam kategori A, dengan kos ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akan turut bertanding dalam acara lompat kijang.
Keadaan sama juga bagi atlet lompat kijang wanita, R. Kithana dan beberapa atlet dalam acara lain, katanya.
"Kami sudah menghantar senarai atlet ini kepada MOM untuk kelulusan sebelum tarikh tutup 2 Sept ini," katanya .
Dalam pada itu, Mohd Manshahar berkata pihaknya juga sedang menunggu keputusan daripada atlet 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang disenaraikan dalam Kategori A, memandangkan atlet tersebut masih ragu-ragu mengenai penyertaan dalam Sukan SEA 2019.
Anak perempuan kepada pasangan bekas pelari trek negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary itu, kini mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam Pendidikan Jasmani di Winona State University (WSU), Minnesota, Amerika Syarikat.
"Beliau mengikuti program biasiswa di sana. Bulan November merupakan masa untuk 'conditioning' (penyesuaian) dan tidak berlatih untuk prestasi. Lagipun musim peperiksaan bertembung dengan Sukan SEA. Jadi sukar untuk mendesak beliau," katanya.
Shereen layak ke Sukan SEA selepas mencatatkan 54.32s pada April lalu di Amerika Syarikat.
Sukan SEA Filipina 2019 akan berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.
-- BERNAMA
#atlet #Filipina #had kelayakan #jaguh pecut negara #jurulatih #Khairul Hafiz Jantan #Mohd Manshahar Abd Jalil #Muhammad Zulfiqar Ismail #pelari utama #pingat emas #Shereen Samson Vallabouy #Sukan SEA #The Speedy Jantan #Zaidatul Husniah Zulkifli
;