Southgate kecewa jika tidak dikaitkan dengan mana-mana kelab
Astro Arena
Disember 26, 2019 09:41 MYT
Disember 26, 2019 09:41 MYT
GARETH Southgate kecewa jika tidak dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) namun pengurus England itu masih lagi memiliki objektif bersama The Three Lions.
England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 1990 di Russia tahun lalu, manakala mereka turut melangkah ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah.
Southgate kemudian memastikan kelayakan England ke saingan Euro 2020 dan pasukan kini dilihat sebagai pilihan untuk bergelar juara Eropah.
Dalam satu sesi soal jawab bersama Sky Sports, Southgate –- yang telah dikaitkan dengan Manchester United sebelum ini -- telah ditanyakan jika mahu kembali mengendali kelab EPL.
Southgate menjelaskan tumpuannya kini kekal bersama The Three Lions.
"Saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap peranan saya ketika ini. Ia merupakan satu keistimewaan untuk menjadi pengurus England. Kadang kala kita terlalu teruja untuk melihat cabaran yang bakal dihadapi pada masa akan datang dan tidak menghirau betapa bertuahnya kita dalam kedudukan ini," katanya.
"Saya berasakan pasukan kami kini sudah menjadi lebih baik, terdapat beberapa objektif yang mahu kami capai. Pada masa akan datang? Saya tidak secara realistiknya, saya tidak akan kekal mengendali England dalam tempoh 10 tahun lagi -- saya berharap untuk terus berkhidmat dalam tempoh enam bulan lagi.
"Namun saya agak kecewa jika tidak dikaitkan dengan mana-mana kelab di England.
"Saya tidak kisah mengenainya kerana tidak menerima sebarang panggilan. Saya berasakan mereka mengetahui betapa komitednya saya terhadap pasukan England."
Bertindak sebagai pengurus skuad kebangsaan membuatkan Southgate perlu menangani banyak perkara termasuklah pertelingkahan di antara Raheem Sterling dan Joe Gomez sebelum ini.
Pengendali itu mengambil keputusan untuk mengetepikan Sterling ketika berdepan Montenegro sebelum menurunkan penyerang City itu dalam aksi kelayakan Euro 2020 bertemu Kosovo.
"Saya berasakan terdapat beberapa situasi yang perlu diputuskan namun perlu menerima kritikan orang ramai. Ia bukanlah jalan terbaik tetapi ia diperlukan bagi memastikan pasukan kekal berfungsi sebagai satu unit."
#England
#EPL
#Gareth Southgate
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester United
#Piala Dunia
#The Three Lions