Southgate kecewa aksi England

Sinar Harian
November 18, 2023 09:23 MYT
Aksi Southgate ketika memantau perlawanan Kelayakan Euro 2024 kumpulan C antara England dan Malta di Stadium Wembley, London, 17 Nov 2023. (AP)
HARRY Kane menjaringkan gol ke-62 peribadinya untuk England memastikan pasukan kendalian Gareth Southgate itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Malta dalam perlawanan kelayakan Euro 2024 pada Sabtu.
England telah pun layak ke Euro dengan baki dua perlawanan, tetapi mereka mahu menjadi pasukan pilihan utama di Jerman dengan memenangi Kumpulan C.
Hanya lima negara berprestasi terbaik sepanjang kempen kelayakan akan menjadi pilihan utama dalam undian Euro bulan depan.
England yang masih belum tewas mencatatkan enam kemenangan dan satu seri dalam peringkat kumpulan selepas gol sendiri awal Enrico Pepe dan jaringan separuh masa kedua Kane memuktamadkan pertembungan membosankan di Wembley itu.
Kemenangan dalam perlawanan kelayakan terakhir mereka di Macedonia Utara pada Selasa akan memenuhi sasaran pilihan utama seperti dimahukan England dengan satu mata mungkin cukup bergantung kepada keputusan lain.
Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan, Southgate mengakui kecewa dengan persembahan dipamerkan England menentang Malta yang berada di kedudukan ke-171 dalam ranking dunia FIFA.
Malah, Southgate menyifatkan persembahan England adalah paling mengecewakan sepanjang aksi kelayakan Euro itu.
"Jika anda tidak memulakan perlawanan dengan baik, ia amat sukar untuk mempamerkan persembahan baik dan kami tidak melakukannya. Kami tahu tahap yang kami ada sepatutnya lebih baik.
"Kualiti tidak mencukupi ketika memegang bola dan peluang yang tidak mencukupi dicipta. Kami tidak mencapai tahap tertinggi yang biasanya kami pamerkan tahun ini," katanya. - Sinar Harian
#England #kelayakan Euro 2024 #Malta #Gareth Southgate
;