Southgate berminat terus bimbing skuad England
Astro Arena
Oktober 13, 2016 10:02 MYT
Oktober 13, 2016 10:02 MYT
PEMANGKU Pemangku jurulatih England, Gareth Southgate, berminat untuk mengambil-alih jawatan berkenaan secara tetap selepas menguruskan pasukan itu dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Southgate membantu England meraih kemenangan ke atas Malta dan Slovenia untuk menerajui Kumpulan F.
Mereka bakal berdepan Scotland dan Sepanyol dalam aksi persahabatan pada November, dan Southgate bersikap terbuka mengenai kemungkinan untuk mengendalikan pasukan itu dalam tempoh yang lebih lama.
"Ia pengalaman yang menakjubkan," katanya kepada media United Kingdom.
"Saya berasa lebih mantap dan berpengalaman, saya juga sedar tanggungjawab yang dipikul.
"Saya gembira dengan pendekatan pemain dan kakitangan belakang tabir. Kami telah menyediakan yang terbaik untuk mereka meraih keputusan.
"Ia belum benar-benar berlaku, tetapi saya bersabar dengan apa yang mereka hadapi."
Southgate turut membuat keputusan berani dengan mengetepikan kapten pasukan, Wayne Rooney, dalam kesebelasan utama ketika berdepan Slovenia.
Bekas pengurus Middlesbrough itu gembira membimbing skuad kebangsaan sejak menggantikan Sam Allardyce, bulan lalu.
"Saya berpuas hati dengan cara saya menangani situasi dan ia adalah cabaran yang hebat," kata Southgate lagi.
"Ia tahap yang lebih tinggi yang harus saya hadapi, namun saya berasa yakin. Selebihnya, ia perlu dinilai secara serius.
"Saya secara dasarnya membuat persiapan yang baik, kami mempunyai masa untuk mengkaji permainan lawan. Lihat kepada pemain dan kumpulkan segala pendapat sebelum November, dengan itu setiap orang mempunyai masa untuk membuat keputusan."