Sorgente, Zeuner muncul juara Vans Park Series 2018
Ian Johan Ariff
Oktober 27, 2018 18:07 MYT
Oktober 27, 2018 18:07 MYT
Alex Sorgente dan Brighton Zeuner muncul juara dalam kategori masing-masing dalam kejohanan Vans Park Series 2018 (VPS) yang berlangsung di Suzhou, China.
Sorgento dari Amerika Syarikat melakukan run terakhir yang cemerlang untuk mengatasi Pedro Barros dari Brazil yang mendahului saingan final dengan pungutan mata terbaik pada run yang pertama.
Barros mendapat 89.83 mata terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabil Sorgente menamatkan run keempatnya dengan 90.37 mata.
Tom Schaar pula mengutip 88.03 mata untuk mendapat tempat ketiga kategori lelaki.
Dalam saingan wanita pula, Zeuner, 14 tahun, dari Amerika muncul juara apabila mengutip mata tertinggi, 89.67 pada run terakhir untuk muncul juara.
Atlet Brazil, Yndiara Asp pula mendapat tempat kedua dengan 88.13 mata diikuti Jordyn Barrett, di tangga ketiga dengan kutipan 84.33 mata.
VPS merupakan saingan disiplin ‘park’ terkemuka papan selaju dengan pusingan kelayakan diadakan di seluruh dunia.
Setiap atlet mendapat empat run dan pemenang ditentukan menerusi pungutan mata pada run yang terbaik.
VPS turut mendapat pengiktirafan badan tadbir papan selaju di Olimpik, World Skate.