Sorakan, tepukan gemuruh iringi kepulangan wira APG 2023

Bernama
Jun 10, 2023 18:48 MYT
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) menyantuni para atlet semasa menyambut kepulangan Kontinjen Sukan Para ASEAN ke-12 2023 di KLIA hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Tepukan dan sorakan orang ramai mengiringi kepulangan kontinjen para negara yang mengharumkan nama Malaysia pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Lebih istimewa, kepulangan atlet berkenaan disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta ahli keluarga atlet.
Sejurus keluar dari Balai Ketibaan kira-kira 5 petang, Dr Wan Azizah dan Hannah turut menyampaikan jambangan bunga kepada semua atlet yang tiba menerusi penerbangan MH755 dan MH7207 dari Phnom Penh, Kemboja.
Dr Wan Azizah ketika ditemui Bernama pada majlis sambutan berkenaan berkata beliau dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya berbangga dengan pencapaian kesemua atlet yang berjaya hampir menggandakan pungutan pingat berbanding sasaran awal.
"Kontinjen ini memberikan kita pingat hampir dua kali ganda daripada sasaran, bayangkan mereka semua 'kelainan upaya' dan saya berbangga dapat menyambut kepulangan mereka," katanya yang turut dilihat memberikan isyarat "bagus" kepada atlet berkenaan.
Membariskan seramai 144 atlet, dengan 62 daripadanya membuat penampilan sulung di pentas berprestij itu, langsung tidak menyekat kontinjen para untuk membawa pulang 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa, untuk menduduki tangga keempat carta pingat.
Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini mengumumkan sasaran buruan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa berbanding 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa yang diraih pada edisi lepas di Solo, Indonesia.
APG 2023 yang bermula 3 Jun lepas dan melabuhkan tirainya semalam menyaksikan Indonesia mempertahankan gelaran juara keseluruhan dengan merangkul 159 pingat emas, 148 perak dan 94 gangsa, sekali gus memegang gelaran itu buat kali keempat selepas edisi Solo 2022, Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017.
Thailand yang akan menjadi tuan rumah pada edisi ke-13 pada 2026 menghuni tangga kedua dengan meraih 126-110-92 diikuti Vietnam (66-58-77).
-- BERNAMA
#Sukan Para ASEAN #Wan Azizah Wan Ismail #Hannah Yeoh #APG 2023
;