Sorakan peminat bergema, Faisal Halim kembali beraksi berdepan Kelantan
Hasimi Muhamad
Ogos 10, 2024 20:01 MYT
Ogos 10, 2024 20:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat bola sepak tanah air untuk melihat Faisal Halim beraksi terubat selepas pemain lincah Selangor FC itu membuat kemunculan dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC, hari ini.
Pemain yang terkenal dengan julukan Mickey itu muncul pada minit ke-81 perlawanan, sekali gus menjadikan ia penampilan pertama buat Faisal selepas 97 hari insiden serangan asid yang menimpanya.
Pemain berjersi nombor tujuh itu yang memakai topeng menerima sorakan daripada para penonton ketika bersiap sedia memasuki padang dan pertukaran pemain di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Malah, beberapa minit kemunculan Faisal di padang, pemain itu hampir merobek gawang Kelantan Darul Naim pada minit ke 87.
Tandukan tajam Faisal hampir menewaskan Khatul Anuar bagaimanapun ia terkena palang gol.
Faisal, 26, turut memakai lilitan kapten pada baki enam minit masa tambahan perlawanan.
Red Giants di bawah bimbingan Nidzam Jamil kini menghuni tangga kedua liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan dua tewas selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Sementara Kelantan juga berada di kedudukan tercorot liga dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan enam kekalahan selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Faisal sebelum ini terpaksa berehat panjang selepas menjadi mangsa simbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu hingga menyebabkan dia menggalami kelecuran tahap empat.