SOP stadium: Hari pertama stadium dibuka, hanya keterujaan mengiringi penyokong

Astro Awani
April 2, 2021 20:37 MYT
Dianggarkan 100 anggota yang terdiri daripada pihak keselamatan dari Kelab Bola Sepak Johor Darul Tazim (JDT) dilihat mengawal dan memantau perjalanan penonton di stadium sultan ibrahim, di Iskandar Puteri Johor. - Astro AWANI
ISKANDAR PUTERI: Perlawanan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Melaka United menjadi antara perlawanan pertama memperlihatkan penonton dibenarkan masuk ke stadium.
Dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, penonton mula masuk ke stadium seawal jam 6 petang.
Dianggarkan 100 anggota yang terdiri daripada pihak keselamatan dari Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat mengawal dan memantau perjalanan penonton di stadium sultan ibrahim, di iskandar puteri johor.
Difahamkan penonton yang mempunyai pemegang pas bermusim sahaja yang dibenarkan masuk.
Kesemua penonton dilihat memakai pelitup muka, menggunakan cecair pemasmi kuman serta beratur dengan jarak satu meter sebelum dibenarkan memasuki stadium.
Mereka juga dikehendaki mengimbas kod MySejahtera serta kerusi dijarakkan mengikut peraturan.
Bagaimanapun, semua arahan itu tidak menjadi beban buat penyokong setia JDT.
Bagi Nazrul Iman Zuhairi, yang hadir ke stadium, dia merasakan situasi luar biasa itu tidak menghalang dirinya untuk memberikan sokongan dengan penuh semangat.
"Dari awal sampai beratur satu meter, anggota bertugas juga mengawal rapi, tempat duduk juga dijarakkan dan pastinya perasaan gembira itu jelas apabila dapat masuk balik ke stadium selepas setahun baru dan dapat berjumpa dengan penyokong-penyokong lain," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI.
Pada 18 Mac lalu, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi menyaksikan kejohanan sukan seperti Liga Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 April.
Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
#Sultan Ibrahim #JDT #SOP #Johor Darul Takzim #bola sepak #sukan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan #PKPB #PKPP #PKP #keselamatan #operasi
;