SOP kehadiran penonton ke stadium di Sarawak diumum dalam masa terdekat
Astro Awani
Mac 22, 2021 14:07 MYT
Mac 22, 2021 14:07 MYT
KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan Sarawak akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kehadiran pengunjung ke stadium dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia berikutan keputusan terkini kerajaan yang bersetuju membenarkan kejohanan sukan dengan kehadiran penonton di stadium atau venue bermula 1 April ini.
"Selepas 1 April 2021, ada SOP baharu berkaitan kehadiran penyokong dan pengunjung di stadium termasuk kemudahan-kemudahan sukan yang lain.
“Kita akan membuat pengumuman SOP tersebut dalam masa terdekat," katanya selepas merasmikan perlawanan pembukaan Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 di Stadium Negeri pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peminat bola sepak negara akan dibenarkan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan saingan Liga Malaysia (MFL) bermula 1 April ini.
Malah kebenaran itu meliputi kehadiran penonton ke stadium bagi semua kejohanan sukan dengan beberapa syarat.
Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kapasiti penonton yang dibenarkan adalah 10 peratus atau 2,000 individu atau mana-mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
Sementara di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula katanya, kapasiti penonton dibenarkan sehingga 25 peratus atau 8,000 atau mana-mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
Bagaimanapun, aksi Liga Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini tidak dilaksanakan di Sarawak yang diwakili Sarawak United FC dan Kuching City FC.
Kedua-dua pasukan itu menggunakan stadium di Semenanjung Malaysia sebagai gelanggang ‘home’ sepanjang kempen Liga Perdana 2021.
Ia susulan daripada arahan kuarantin wajib selama 14 hari apabila memasuki Sarawak yang menyukarkan pasukan tuan rumah mahupun pelawat bermain mengikut jadual perlawanan ditetapkan.
#SOP sukan di Sarawak
#COVID-19 di Sarawak
#SOP JPBNS
#SOP masuk stadium
#Liga Malaysia 2021
#Sarawak United FC
#Kuching City FC