Soon Huat-Shevon, Kian Meng-Pei Jing mara di Jerman

Sinar Harian
Februari 28, 2024 07:45 MYT
Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (gambar) menewaskan gandingan dari India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh dalam Terbuka Jerman 2024 di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim pada Rabu. - Foto Astro ARENA
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim pada Rabu.
Tampil dengan status nombor 14 dunia, Soon Huat-Shevon Lai menewaskan gandingan nombor 77 dunia dari India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh.
Kemenangan straight set 21-12, 21-11 dalam masa 23 minit membolehkan pilihan keempat itu berdepan gandingan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dalam kejuaraan Super 300 tersebut.
Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menduduki tempat ke-25 juga mengiringi kemaraan Soon Huat-Shevon Lai.
Kian Meng-Pei Jing yang berstatus 25 dunia mara selepas menewaskan wakil dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs, ranking ke-40 dunia.
Bagaimanapun Kian Meng-Pei Jing dipaksa bekerja keras sebelum menang 24-22, 20-22, 21-19 dalam masa 65 minit bagi mengesahkan pertemuan dengan pilihan kelapan, Rinov Rivaldy- Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.
Biarpun begitu hasrat pemain perseorangan lelaki negara, June Wei Cheam untuk mara tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi 44 minit.
June Wei yang berstatus nombor 62 dunia tewas kepada pemain nombor 87 dunia, Lucas Claerbout dari Perancis, 19-21, 14-21.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan kempen pusingan kedua berdepan gandingan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula akan menentang pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.
Vivian Hoo-Chiew Sien mara selepas mengatasi pasangan dari Austria, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir, 21-9, 21-13 dalam masa 32 minit sebelum ini. - Sinar Harian
#Terbuka Jerman 2024 #badminton #Soon Huat-Shevon Lai #Kian Meng-Pei Jing
;