Soon Huat-Shevon juarai badminton terbuka Singapura
Bernama
Julai 22, 2018 17:53 MYT
Julai 22, 2018 17:53 MYT
Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai muncul juara kejohanan Badminton Terbuka Singapura, selepas menundukkan pasangan nombor satu dunia Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad dari Indonesia, di sini hari ini.
Pasangan nombor lapan dunia itu, hanya mengambil masa 36 minit untuk menjinakkan pilihan pertama kejohanan itu dengan mata 21-19, 21-18.
"Kemenangan ini amat bermakna bagi kami kerana ia yang pertama bagi kami dan saya berharap kami akan terus meraih kemenangan dan tentunya banyak pengalaman yang kami peroleh di sepanjang kejohanan ini," kata Shevon ketika diminta mengulas kejayaan memenangi gelaran juara Terbuka Singapura.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu menyaksikan pasangan pilihan kedua kejohanan bertemu pasangan Indonesia itu buat kali pertama di mana mereka (Indonesia) telah tiga kali menjuarai Terbuka Singapura dalam empat penyertaan sebelum ini.
Kemenangan itu membolehkan Soon Huat-Shevon membawa pulang US$ 28,045 (US$1 = RM4.055).
Ditanya mengenai strategi mereka untuk menang kerana mereka dilihat lebih banyak melakukan serangan, Shevon berkata: "Ya. Mereka lebih berpengalaman, jadi kami memang merancang untuk melakukan banyak serangan."
"Mereka adalah pasangan yang lebih berpengalaman, mudah bagi mereka untuk mengubah permainan dan untuk mereka mendapatkan mata, itu memang dijangka, jadi bila mereka mengejar, kami hanya perlu mengekalkan permainan kami. Hanya perlu ikuti rancangan kami," katanya.
Di Kejohanan Terbuka Singapura itu, Soon Huat-Shevon layak ke perlawanan suku akhir dengan mengalahkan Xiangyu Ren-Tang Jinhua dari China sebelum menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia untuk layak ke separuh akhir.
Pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu, pasangan Malaysia itu menewaskan pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 'straight-set' 21-18, 21-14.
Pasangan Malaysia juga menyatakan, mereka berasa bangga dapat bermain menentang Liliyana-Tontowi, kerana "semua orang tahu, mereka bukan sahaja pasangan Dunia No 1, tetapi juga juara Olimpik."
"Mereka banyak kali menjadi juara, jadi dapat bermain menentang mereka adalah sesuatu yang membanggakan kami," kata Goh sambil menambah bahawa "dan kita tahu bahawa dia (Liliyana) akan bersara tidak lama lagi, jadi ia satu kebanggaan kami untuk (bermain) menentang mereka,"
Shevon seterusnya berkata gelaran terbaharu itu menyuntik semangat mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia BWF akhir bulan ini di Nanjing, China.
Shevon digandingkan dengan Soon Huat, seorang bekas pemain perseorangan lelaki negara, pada November 2016.
Pasangan itu memenangi Terbuka Jerman pada bulan Mac.
-- BERNAMA
#badminton
#bergu campuran
#BWF
#goh soon huat
#Indonesia
#Liliyana Natsir
#Malaysia
#Shevon Jemie Lai
#Singapura
#Tontowi Ahmad