Soon Huat-Shevon idam gelaran Masters Malaysia sebagai hadiah perkahwinan

Bernama
Mei 25, 2024 06:45 MYT
Soon Huat-Shevon ketika menentang rakan senegara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada pusingan separuh akhir perlawanan Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, 25 Mei 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengakui sekiranya berjaya meraih gelaran Masters Malaysia 2024 hari ini, ia akan menjadi hadiah perkahwinan terbaik selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pada pusingan separuh akhir semalam, beregu di ranking ke-18 dunia itu mudah menumpaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-11, 21-19 untuk membuat perhitungan dengan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia bagi menentukan gelaran juara.
Shevon berkata kawalan emosi mantap ketika mata penting menjadi antara faktor kemenangan hari ini, selain pengalaman dimiliki mereka sebagai pasangan senior yang sudah bergandingan sejak 2016.
"Hari ini kami mengawal emosi dengan baik walaupun perjumpaan di Terbuka Switzerland 2024 (kami menang dan jadi juara) tapi ia sudah lepas dan esok walaupun rekod kami menentang lawan kami dari Indonesia adalah baik, namun esok hari baharu.
".. dan (kalau menang) trofi ini, ia akan menjadi hadiah perkahwinan berharga sebab minggu lepas kita telah tersingkir di pusingan pertama Terbuka Thailand. Jadi berada di sini sebagai tuan rumah dan memenangi pertandingan seperti berbulan madu di Axiata Arena," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Shevon merasa teruja untuk beraksi hari ini bersama suaminya selepas tidak pernah melangkah ke pentas akhir kejohanan di Malaysia.
Soon Huat-Shevon baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei lalu.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Soon Huat-Shevon pernah menewaskan pasangan Indonesia itu sebanyak lima kali iaitu di Terbuka Singapura 2018, Terbuka Fuzhou China 2019, Terbuka Singapura 2019, Kejohanan Badminton Asia Dubai 2023 dan Terbuka Hong Kong 2023.
Sementara itu, seramai 27 pelajar termasuk 18 daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), iaitu program usaha sama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perodua hadir memberi sokongan buat pemain-pemain Malaysia yang berentap di Masters Malaysia 2024.
Program BTDP diperkenalkan pada 2018 bertujuan untuk mencungkil bakat di kalangan murid di peringkat sekolah rendah dengan misi supaya mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti.
Ketika ini BTDP mempunyai 140 jurulatih yang telah melatih seramai 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.
-- BERNAMA
#badminton #Masters Malaysia #Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai #hadiah perkahwinan
;