Soniia, Soon Huat-Shevon Lai terkandas di suku akhir
Bernama
April 13, 2018 23:42 MYT
April 13, 2018 23:42 MYT
Skuad badminton negara beraksi cemerlang apabila empat kategori menyaksikan wakil Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir pada Sukan Komanwel 2018.
Seperti dijangka, Datuk Lee Chong Wei mara ke kelompok empat terbaik acara perseorangan lelaki selepas mencatat kemenangan 21-13, 21-16 ke atas pemain Singapura Loh Kean Yew di Carrara Sports and Leisure Centre di sini, hari ini.
Jaguh badminton negara itu akan berdepan pemain India H.S. Prannoy yang sebelum itu mengetepikan Dinuka Karunaratna dari Sri Lanka 21-13, 21-6, di separuh akhir, esok.
Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula memerlukan 26 minit untuk menewaskan pasangan Scotland Alexander Dunn-Adam Hall 21-9, 21-17.
Gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan menentang beregu England Marcus Ellis-Chris Langridge yang menumpaskan Chrisnanta Danny Bawa-Terry Hee Yong Kai dari Singapura 21-18, 21-17.
Beregu wanita Chow Mei Kuan-Vivian Hoo meneruskan rentak kemenangan pemain negara apabila melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan England Chloe Birch-Jessica Pugh 21-11, 21-6.
Mei Kuan-Vivian dijadual bertemu pasangan India, Reddy N. Sikki-Ashwini Ponnappa yang mengetepikan pasangan Sri Lanka Hasini Ambalagodage-Madushika Dilruksha Beruwelage 21-11, 21-13.
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke separuh akhir acara beregu campuran selepas berjaya melepasi cabaran Pranaav Chopra-Reddy N. Sikki dari India, 21-17, 21-12.
Namun, mereka dijangka berdepan tugas berat apabila dijadual bertemu Gabrielle Adcock-Chris Adcock dari England yang sebelum itu menewaskan pasangan tuan rumah, Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa 21-10, 21-14.
Bagaimanapun, Soniia Cheah dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal mengikut jejak langkah rakan sepasukan apabila terkandas di suku akhir.
Soniia yang cemerlang ketika aksi akhir badminton berpasukan, tewas kepada Michelle Li dari Kanada 12-21, 9-21.
Sementara pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tunduk kepada gandingan campuran India, Satwik Rankiready-Aswini Ponappai 19-21, 19-21. -- Bernama
#badminton
#Commonwealth Games
#goh soon huat
#Goh V Shem
#Gold Coast
#Lee Chong Wei
#Shevon Lai Jemie
#Soniia Cheah
#Sukan Komanwel
#Tan Wee Kiong