OLE Gunnar Solskjaer menyedari akan merasai kritikan Gary Neville dan bekas pemain Manchester United yang lain sepanjang tempoh mengendalikan kelab itu.

Solskjaer dilantik selaku pengurus sementara dan memulakan tugas dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City, Sabtu lalu.

Neville dan beberapa bekas pemain United seperti Paul Scholes dan Rio Ferdinand yang bertugas selaku pengulas perlawanan, tidak menyimpan kritikan yang diberikan kepada pengganti Alex Ferguson, iaitu David Moyes, Louis van Gaal dan terbaru, Jose Mourinho, yang dipecat selepas mengalami kekalahan 3-1 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, 17 Disember lalu.

Menjelang aksi pertama Solksjaer di Old Trafford berdepan Huddersfield Town esok, beliau menjangkakan layanan yang sama akan diberikan kepadanya.

"Tidak mengapa, Neville akan memberikan tekanan kepada saya. Saya duduk bersebelahan dengannya dalam bilik persalinan selama 11 tahun.

"Beliau dibayar untuk memberikan pendapat dan ia adalah tugasnya. Saya tidak berbeza dengan pengurus yang lain.

"Tetapi saya tidak bermain untuk mereka. Tugas saya adalah memastikan pemain-pemain menikmati setiap saat di atas padang," ujarnya.

United mempamerkan aksi cemerlang ketika membenam Cardiff dengan falsafah permainan menyerang yang diketengahkan oleh Solskjaer dan berasakan ia merupakan sesuatu yang diperlukan pasukan.

"Ia adalah perkara yang semula jadi buat pasukan ini, permainan menyerang adalah keutamaan.

"Ia tidak akan berlaku dalam setiap perlawanan tetapi kami akan berusaha untuk melakukannya.

"Falsafah menyerang adalah suatu tunjang kepada pasukan United dan ia merupakan satu tradisi dan sejarah kelab ini.

"Ia adalah cara kami bermain dan bagaimana kami mahu bermain. Keputusan berdepan Cardiff adalah cerminan apa yang kami mahukan."