Solskjaer mahu terus kekal memimpin The Red Devils

Israr Khalid
Januari 3, 2019 19:02 MYT
Kalau boleh, Solskjaer mahu kekal lebih lama bersama kelab yang dicintainya. - Gamber REUTERS
OLE GUNNAR SOLSKJAER membuktikan dirinya bukan sekadar pengisi kekosongan kerusi pengendali Manchester United.
Dia berjaya memimpin The Red Devils untuk melakar kemenangan keempat daripada empat perlawanan pertamanya dengan menewaskan Newcastle 2-0, menyamai rekod terbaik kelab yang diukir Sir Matt Busby.
Pengurus berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak mahu berhenti hanya di situ, tidak juga setakat sampai penghujung musim ini.
“Saya tidak mahu (pergi),” ketika ditanya sama ada dia akan mengundur diri pada Mei nanti.
Solskjaer berjaya mengembalikan suasana ceria dalam bilik persalinan United, sekali gus menyerlahkan kemampuan sebenar pemain-pemain yang sebelum ini tersimpan semasa zaman Jose Mourinho.
Romelu Lukaku pantas memberi impak untuk membuka tirai jaringan di St. James' Park pada minit ke-64 selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, diikuti jaringan daripada Marcus Rashford sepuluh minit kemudian hasil gerakan cantik bersama Lukaku dan Alexis Sanchez.
Malah, Paul Pogba juga telah meledak empat gol dan tiga bantuan jaringan sejak diberi kebebasan di atas padang di bawah pimpinan Solskjaer.
Bekas pemain Manchester United yang dikenali dengan panggilan ‘Babyface’ itu berbesar hati dapat menyamai rekod pengurus legenda itu, pada masa sama sempat mengkritik gaya permainan pasukan itu pada separuh pertama musim.
“Saya hanya memikirkan perlawanan seterusnya kerana jika anda menang empat anda juga mampu memenangi lagi empat bersama kelab ini.
“Itulah cabarannya, dan itulah standardnya yang sudah kami biasakan.
“Separuh pertama amat lembab, ada kalanya seperti perlawanan amal - terlalu perlahan, terlalu banyak sentuhan dan terlalu banyak hantaran yang tidak ke mana,” katanya kepada Skysports.
Solskjaer dilantik sebagai pengurus interim sehingga penghujung musim bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada Disember, selepas kekalahan United kepada Liverpool 3-1.
Ura-ura mengatakan bahawa pengurusan United berkenan untuk mendapatkan khidmat pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino juga bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte.
#bola sepak #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #Ole Gunnar Solskjaer #Sir Matt Busby #the Red Devils
;