Solskjaer enggan tolak ansur pemain "didorong wang, kemasyhuran"

Astro Arena
April 28, 2019 15:18 MYT
Solskjaer menegaskan dia tidak akan bertolak-ansur dengan pemain-pemain di Manchester United yang mengejar kekayaan dan kemasyhuran. - Foto Stadium Astro.
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan dia tidak akan bertolak-ansur dengan pemain-pemain di Manchester United yang "didorong oleh wang atau kemasyhuran".
Solskjaer dijangka membuat rombakan pasukan selepas musim yang mengecewakan ketika gagal memberikan saingan kepada kelompok utama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tewas tujuh kali dalam sembilan perlawanan terakhir mereka.
Terdapat spekulasi sebahagian daripada kesebelasan utama akan dijual musim panas ini, dengan Ander Herrera, Juan Mata dan Antonio Valencia akan bergerak selaku ejen bebas dan masa depan Paul Pogba, David de Gea, Alexis Sanchez, Romelu Lukaku, Marcos Rojo dan Matteo Darmian masih samar.
Mendapatkan Sanchez membuktikan satu pembaziran yang besar kepada kelab, dengan bekas bintang Arsenal itu sekadar meledak tiga gol sejak menyertai pasukan Januari tahun lalu.
Solskjaer memberikan amaran bahawa keutamaannya adalah membentuk pasukan yang memberikan tumpuan ke atas kejayaan di atas padang, berbanding mereka yang mahu menerima kontrak lumayan di Old Trafford.
"Kami mahu mengekalkan pemain yang memiliki kualiti dan perwatakan yang betul untuk pasukan," katanya.
"Sepanjang hidup ini, saya percaya jika seseorang itu memiliki keazaman yang tinggi, kejayaan akan menyusul. Mereka yang didorong oleh wang serta populariti tidak sesuai untuk Man United atau pasukan saya.
"Situasinya sama ketika saya bersama Molde, Cardiff City, saya memerlukan pemain yang mencerminkan nilai yang terbaik. Kami tidak mahu mereka bersama pasukan kerana ditawarkan gaji yang tinggi.
"Anda tidak boleh berkata kami tidak melaburkan wang, kelab telah melabur banyak dan kami akan terus melakukannya.
"Tetapi anda tidak boleh mengubah pasukan dalam satu jendela perpindahan. Ia tidak akan berlaku dalam tempoh satu malam," katanya.
Solskjaer dikritik oleh bekas pemain tengah United, Paul Ince, kerana cuba mengulangi langkah-langkah yang diambil oleh bekas pengurus, Alex Ferguson, yang bersara enam tahun lalu.
Tetapi pengendali kelahiran Norway itu menegaskan dia tidak cuba untuk meniru gaya pengurus terdahulu, dengan berkata, "Kami melakukan perkara yang berbeza berbanding jurulatih terdahulu.
"Kami tidak boleh meniru Ferguson dan berjaya kerana beliau seorang yang unik. Kami memiliki cara tersendiri. Kami memiliki generasi pemain yang berbeza. Mungkin sebahagian daripada mereka tidak mampu menangani cara Ferguson.
"Kami memiliki cara tersendiri. Kami mengetahui sejarah kelab dan apa yang telah dicapai oleh Ferguson, ia sungguh bermakna buat kelab ini.
"Saya kerap bercakap dengan pemain-pemain, mereka menyedari apa yang saya mahukan. Saya akan berada tiga tahun di sini dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk menjadikan kelab ini berjaya.
"Kami melakukannya bersama-sama. Ia bukan persaingan di antara pemain dan pengurus. Penyokong mengetahui kami sedang berusaha untuk mempertingkatkan mutu permainan," katanya lagi.
Manchester United akan bertemu Chelsea di Old Trafford pada 11:30 malam pada Ahad.
Saksikan perlawanan secara langsung di saluran 834 Astro Supersport atau di aplikasi Astro GO.
#Alex Ferguson #Alexis Sanchez #Ander Herrera #Antonio Valencia #David de Gea #EPL #Juan Mata #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #Marcos Rojo #Matteo Darmian #Ole Gunnar Solskjaer #Paul Pogba #Romelu Lukaku
;