Soh Wai Ching pecah rekod dunia selepas daki tangga 1.295 kilometer dalam sejam

Faris Danial Razi
November 19, 2020 18:31 MYT
Dalam rekod tersebut, Soh, 26, berjaya menghabiskan larian menegak di Hotel Four Seasons dengan jarak sejauh 1.295 kilometer. - Gambar Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Pelari menara nombor dua dunia, Soh Wai Ching berjaya mengatasi rekod Guinness World Records selepas selesai melakukan cabaran pendakian tangga dalam masa satu jam.
Dalam rekod tersebut, Soh, 26, berjaya menghabiskan larian menegak di Hotel Four Seasons dengan jarak sejauh 1.295 kilometer.
Soh berlari hingga ke tingkat 66 bangunan tersebut dan kemudian mengambil lif untuk ke tingkat bawah, sebelum berlari semula ke atas berulang kali dari jam 9 hingga 10 malam.
Bagaimanapun, pelari menara negara itu kini sedang menunggu keputusan rasmi daripada Guinness World Records untuk diiktiraf sebagai pemecah rekod berkenaan.
Ketika ini, rekod dunia masih lagi dipegang David Robles Tapia dari Sepanyol yang mencatat 1.227 km dalam satu jam.
Menurut pengadil Guinness World Records, Swapnil Dangarikar, pihaknya sedang meneliti semula rakaman percubaan Soh.
“Ia akan mengambil masa dua hari untuk membuat keputusan kerana kami perlu menganalisis rakaman itu secara terperinci dan videonya panjang,” jelasnya.
Sementara itu Soh menjelaskan beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukannya selepas sekian lama mengidam gelaran pelari menara nombor satu dunia.
"Saya gembira kerana berjaya mencatat masa yang baik tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat mencapai sasaran jarak peribadi saya pada 1.3 km dalam satu jam.
"Saya akan berusaha lebih lagi dalam larian seterusnya untuk mengatasi sasaran ini," katanya sambil menambah bahawa beliau merancang untuk melakukan larian di Menara Berkembar Petronas pada masa depan apabila pandemik COVID-19 reda.
Bagi anda yang tidak pernah dengar sukan larian menara, ia merupakan sukan melibatkan larian memanjat struktur binaan manusia.
Sekiranya anda sering memilih untuk menggunakan tangga berbanding lif di kediaman atau di tempat kerja anda, mungkin anda boleh pertimbang untuk menyertai sukan ini.
BACA: Pelari menara nombor 1 Asia, Soh Wai Ching sasar rekod dunia
#pelari menara #Guinness World Records #Soh Wai Ching #rekod dunia #atlet #sukan #menara #Hotel Four Seasons
;