Slovakia B15 sah ke separuh akhir Piala Frenz

Astro Awani
Januari 3, 2013 12:13 MYT
Skuad Bawah-15 tahun Slovakia mengesahkan tempat di separuh akhir selepas menewaskan Chonburi FC 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Antarabangsa Frenz 2012.
Ia menjadi juara kumpulan dengan enam mata, mengatasi Persepolis FC menerusi perbezaan jaringan.
Saingan di Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) ini menyaksikan penguasaan penuh Slovakia sejak wisel permulaan.
Wakil Eropah itu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Samuel Ondira.
Kedudukan menjadi 2-0 sebelum rehat apabila kapten Slovakia Martin Macho menanduk masuk hantaran dari sepakan percuma.
Bersambung babak kedua, Slovakia terus meningkatkan asakan. Hasilnya Flip Modorosi menjaringkan gol ketiga susulan serangan balas pantas pasukannya.
Kesilapan penjaga gol Chonburi, Chakhon Philakhlang pada minit ke-77 dihukum Adam Sokol yang menjaringkan gol keempat Slovakia.
Pemain gantian Marek Totkovic melengkapkan kemenangan besar Slovakia dengan jaringan kelima di penghujung permainan.
#bola sepak #Chonburi FC #Piala Antarabangsa Frenz #Slovakia
;