Slot Eropah kembali gamit Newcastle United

Sinar Harian
April 14, 2024 05:50 MYT
Aksi Anthony Gordon ketika meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan EPL antara Newcastle United dan Tottenham Hotspur di St James' Park, Newcastle, Britain, 13 Apr 2024. - REUTERS
PEMAIN Newcastle United, Anthony Gordon menyifatkan layak ke Eropah sasaran terbaru The Magpies selepas membelasah Tottenham Hotspur, 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James’ Park pada Sabtu.
Kemenangan itu menjelmakan semula harapan skuad kendalian Eddie Howe apabila mendaki tangga keenam liga.
Sebagai rekod, Newcastle memulakan musim baharu kembali ke Liga Juara-Juara, namun krisis kecederaan menjejaskan momentum saingan domestik dan Eropah.
Biarpun dipalit kecederaan pemain-pemain, namun The Magpies berjaya menyambar 10 mata daripada empat perlawanan liga terakhir untuk bergerak di atas Manchester United bagi slot tempat Liga Europa.
“Ia sangat besar. Kami telah merasainya musim ini dan kami mahu tahun depan keadaan sama.
“Dengan persembahan yang kami lakukan hari ini, itu tidak akan membuat kami tersilap langkah selepas ini,” Gordon, yang menjaringkan gol kedua pasukannya menentang Spurs.
Alexander Isak menjaringkan dua gol bagi menjadikan sentuhan gol saingan liganya kepada 17 musim ini.
“Sukar untuk digambarkan. Anda boleh lihat di atas padang dia sangat berbakat, boleh menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia, dan apabila cergas dia sangat bagus untuk kelab ini,” kata Gordon.
Newcastle kekal 10 mata di belakang Aston Villa di tempat keempat manakala Tottenham Hotspur di tempat kelima.
“Kami hanya perlu terus melakukan yang terbaik yang cuba memenangi setiap perlawanan.
“Kami berharap akan kembali ke tempat yang hampir terbaik dan kami perlu terus menuju ke arah itu,” kata pengendali Eddie Howe. - Sinar Harian
#Newcastle United #EPL #eropah #Anthony Gordon
;