Skuasy Sukan Asia Hangzhou: Semua pemain acara individu ke suku akhir
Bernama
Oktober 3, 2023 16:38 MYT
Oktober 3, 2023 16:38 MYT
HANGZHOU: Skuad skuasy negara memulakan kempen acara individu pada temasya Sukan Asia 2022 dengan keputusan memberangsangkan apabila kesemua pemain negara berjaya menewaskan lawan masing-masing untuk melangkah ke peringkat suku akhir, hari ini.
Aksi pusingan kedua di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan olimpik, menyaksikan pemain wanita negara, S. Sivasangari, yang mendapat 'bye'pada pusingan pertama, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pemain Pakistan, Noor ul Ain Ejaz 11-3, 11-2, 11-1.
Bagaimanapun, penyandang pingat perak itu akan menghadapi ujian getir esok apabila menentang pemain Korea Selatan, Heo MingYeong yang mengesahkan slot suku akhir dengan menyingkirkan wakil India, Joshana Chinappa 11-4, 10-12, 11-9, 11-8.
Naib remaja dunia, Aira Azman turut sama melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Liu Kwai Chi dari Macao dengan keputusan 11-0, 11-4, 11-4 untuk berdepan dengan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk of Hong Kong, esok.
Dalam kategori perseorangan lelaki, pilihan utama, Ng Eain Yow dengan mudah melangkah ke peringkat suku akhir dengan mengalahkan pemain Qatar, Syed Amjad 11-3, 11-2, 11-1.
Eain Yow akan menentang Abdullah Almezayen selepas pemain Kuwait itu mengalahkan wakil Pakistan, Muhammad Asim Khan 11-4, 1-11, 11-8, 8-11, 11-4.
Pemain pilihan kedua negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar terpaksa bangkit selepas ketinggalan set pertama untuk mengesahkan slot suku akhir dengan menyingkirkan pemain Sri Lanka, Ravindu Hashintha Laksiri 10-12, 11-6, 11-7, 13-11.
Muhammad Addeen akan memburu slot separuh akhir dengan menentang pemain Qatar, Abdulla Al-Tamimi yang menumpaskan pemain Pakistan, Nasir Iqbal 11-9, 11-8, 11-6.
Dalam acara baharu beregu campuran, pasangan negara, Ivan Yuen-Rachel Arnold menghidupkan peluang ke suku akhir selepas menewaskan Amir Bhlon-Swasthani Shrestha dari Nepal, 11-6, 11-2 dalam aksi Kumpulan C.
Selepas memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Dongjun-Yang Yeonsoo 11-4, 8-11, 10-11, Ivan-Rachel bangkit semula untuk mengecewakan wakil Thailand, Nopchanok Buranakul-Supakorn Ngamprasert 11-4, 11-3, semalam.
Pasangan negara itu akan melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang pendahulu kumpulan dari Hong Kong, Wong Chi Him-Lee Ka Yi, esok.
"Kami belajar dari setiap perlawanan dan perlu memperbaiki kesilapan dan strategi," kata Ivan.
Dalam acara berpasukan Sabtu lalu, skuad wanita negara meraih pingat emas manakala skuad lelaki berpuas hati dengan pingat gangsa.
-- BERNAMA