Skuasy: Sivasangari juara kali kedua, Eain Yow cipta sejarah tersendiri
Bernama
Jun 12, 2022 21:49 MYT
Jun 12, 2022 21:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain wanita negara S. Sivasangari berjaya merampas kembali gelaran juara divisyen premier wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-37 selepas mengatasi Aifa Azman 3-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, hari ini.
Pengalaman ternyata menjadi perbezaan apabila Sivasangari yang merupakan pemain ranking ke-19 dunia unggul menoktahkan kemenangan 12-10, 9-11, 11-6 dan 11-9 dalam masa 33 minit.
Kejayaan itu merupakan gelaran keduanya selepas muncul juara buat julung kali pada edisi 2018 sebelum hasrat beliau untuk mempertahankan kejuaraan pada tahun berikutnya tidak kesampaian apabila disingkirkan di pusingan separuh akhir.
Pada edisi 2020 beliau sekali lagi dikecewakan, namun kali ini kepada Low Wee Wern di pentas final.
Sudah tentu saya berasa sangat gembira untuk memenangi gelaran kebangsaan kedua saya, kerana kita dapat melihat Aifa telah banyak meningkat dan memperbaiki ranking...hari ini jelas perlawanan yang sukar, saya gembira untuk berpegang kepada pelan permainan saya dan ia bekerja dengan sangat baik dan gembira untuk menamatkan perlawanan dalam empat set.
"Dalam set kedua saya terlalu tergesa-gesa, cuba melakukan pukulan terlalu awal dan bergelut dengan pergerakan saya sedikit. Jadi saya gembira berjaya pulih dan cuba bermain dengan mudah dan saya fikir ia berbaloi," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, dalam kategori lelaki menyaksikan Ng Eain Yow mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran kebangsaan pertamanya selepas melakar kemenangan cemerlang 3-0 ke atas juara empat kali Ivan Yuen.
Pemain berusia 24 tahun itu hanya memerlukan 24 minit untuk menang 11-6, 11-3 dan 11-2 sekali gus meletakkan namanya sebaris jaguh handalan skuasy negara yang pernah dinobatkan juara kejohanan itu.
"Saya lagi gembira dengan persembahan sendiri daripada kejayaan memenangi gelaran sebab ini adalah persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel bulan depan. Saya rasa prestasi hari ini satu langkah ke hadapan untuk saya dari segi cara mengendalikan tekanan, jadi saya sangat berpuas hati," katanya.
Ketika ditanya apakah elemen di sebalik peningkatan prestasinya dalam tiga tahun kebelakangan ini, Ng berkata ia dipengaruhi pendedahan yang dikumpul daripada beberapa penyertaan di kejohanan antarabangsa selain menjalani latihan bersama pemain terbaik dunia.
"Saya juga berlatih dengan dua pemain dalam kedudukan 10 dunia dan selalu beraksi dalam kejohanan besar untuk dapatkan pengalaman," katanya yang berpangkalan di United Kingdom.
-- BERNAMA