Skuasy: Malaysia raih emas acara berpasukan campuran di Kejohanan Piala SEA
Bernama
Jun 9, 2024 21:38 MYT
Jun 9, 2024 21:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy meningkat naik negara Sanjay Jeeva dan K. Sehveetrra mempamerkan prestasi cemerlang untuk membantu Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan campuran pada Kejohanan Piala SEA selepas menewaskan tuan rumah Filipina 2-0.
Sanjay yang menjuarai perseorangan lelaki pada Rabu lepas memberikan mata pertama buat Malaysia setelah menewaskan David Pelino 11-5, 11-8, 11-7 dalam masa 24 minit di Kompleks Sukan Memorial Rizal di Manila.
Sehveetrra kemudian menyingkirkan Jemyca Aribado 11-1, 12-10, 11-5 dalam tempoh 28 minit untuk mengesahkan kejuaraan.
"Saya mengalami sedikit tekanan dan terpaksa memberikan beberapa mata mudah yang membantu Jemyca untuk mengejar, tetapi saya berjaya mengatasinya dan menang dalam straight set.
"Semua pemain negara melakukan yang terbaik dan tiada siapa yang mempamerkan prestasi buruk dalam mana-mana perlawanan (menuju ke final)," kata Sehveetrra.
Selain pingat emas perseorangan lelaki dan berpasukan campuran, Malaysia turut menjuarai acara perseorangan wanita dan beregu campuran masing-masing menerusi Ainaa Amani Ampandi dan gandingan Ong Sai Hung-Ainaa.
Sementara Sai Hung dan Chan Yiwen masing-masing memenangi pingat perak dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.
-- BERNAMA