Skuasy cipta sensasi, olahraga hadirkan senyuman buat kontinjen negara

Bernama
Oktober 1, 2023 08:00 MYT
Skuasy berpasukan wanita negara kembali mengesahkan status di pentas Sukan Asia dengan menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen negara pada Sabtu. - Foto Astro ARENA
HANGZHOU: Cuaca dingin seharian tidak dapat memadam api semangat kontinjen Malaysia yang kembali menuai pingat emas bersama empat gangsa pada hari ketujuh temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, semalam.
Tirai hari 'sibuk' kontinjen negara disingkap skuad skuasy wanita dibarisi Rachel Arnold, S. Sivasangari dan pasangan adik-beradik Aifa dan Aira Azman yang menyumbangkan emas dalam acara berpasukan wanita selepas menumbangkan juara bertahan Hong Kong 2-1 pada aksi final.
Kejayaan yang dilakar di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu membolehkan Malaysia merampas kembali kilauan emas selepas meraih gangsa pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Selain itu, pencapaian tersebut dapat menampung kegagalan pasukan lelaki mempertahankan emas edisi lalu apabila membawa pulang gangsa.
Pada masa sama, Stadium Olimpik Hangzhou menjadi saksi kebangkitan arena olahraga negara khususnya dalam acara trek masing-masing menerusi atlet berpangkalan di Amerika Syarikat Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy yang membuat debut di Sukan Asia.
Muhammad Azeem menamatkan final 100 meter (m) lelaki di tempat ketiga dengan catatan 10.11 saat (s) sekali gus menamatkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara reben biru sejak Datuk Rabuan Pit meraih emas di New Delhi, India pada 1982.
Sementara Shereen yang terlebih dahulu menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk membawa pulang pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia, turut merangkul gangsa selepas mengakhiri acara 400m wanita di tempat ketiga dengan catatan 52.58s.
Di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pula, kem terjun membutirkan dua gangsa masing-masing menerusi Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita dan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki.
Keputusan itu menyaksikan Pandelela-Nur Dhabitah mengulangi pencapaian gangsa yang diraih Nur Dhabitah-Datuk Leong Mun Yee pada edisi lepas.
Selain itu pencapaian gangsa dilakar Muhammad Syafiq-Tze Liang yang baru bergandingan membolehkan Malaysia menaiki semula podium dalam acara itu selepas gandingan Tze Liang-Chew Yiwei menamatkan saingan di tempat keempat lima tahun lepas.
Dalam pada itu, Malaysia mengesahkan tempat di separuh akhir acara Dota2 selepas menyingkirkan Arab Saudi 2-0 pada saingan suku akhir kedua di Pusat E-Sukan Hangzhou sekali gus menempah pertemuan dengan China hari ini dalam menentukan slot ke final.
Kehampaan sedikit terasa dalam sukan hoki apabila skuad lelaki kebangsaan tewas 3-4 kepada Korea Selatan pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sports Park sekali gus perlu menang dalam perlawanan akhir bertemu China esok (2 Okt) bagi melayakkan diri ke separuh akhir.
Turut tidak berjaya menyerlah adalah sukan menembak, bola keranjang 3x3, tinju dan Go.
Tumpuan hari ini terarah kepada gandingan Nur Dhabitah-Ng Yan Yee yang akan turun beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dan pasangan Bertrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform seirama lelaki.
Dengan pencapaian dilakar atlet negara semalam, Malaysia naik dua anak tangga di posisi ke-12 dalam carta pingat dengan mengumpul tiga emas, tiga perak dan 12 gangsa, manakala China kekal di persada dengan kutipan 114-68-34 diikuti Jepun di tangga kedua (28-38-39) dan Korea Selatan ketiga (27-29-54).
-- BERNAMA
#Skuasy #kontinjen malaysia #pingat emas #Sukan Asia Hangzhou 2022
;